BANGKOK, 9 OGOS – Parti pembangkang terbesar Thailand, Move Forward Party (MFP) yang telah dibubarkan, kini telah membentuk parti baharu yang dikenali sebagai Parti Rakyat (PP).
Parit Wacharasindhu, Ahli Parlimen (MP) yang tersenarai parti daripada bekas MFP, berkata 143 MP daripada bekas MFP menghadiri mesyuarat khas parti di ibu negara Thailand pada Jumaat untuk menentukan barisan kepimpinan parti baharu selepas MFP dibubarkan dan semua barisan kepimpinan parti dilucutkan kelayakan.
Mesyuarat yang berlangsung selama lebih dua jam itu telah memilih Jawatankuasa Eksekutif parti baharu termasuk Natthaphong Ruangpanyawut sebagai ketua parti dan Sarayut Jailak sebagai setiausaha agung, katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu.
Wacharasindhu berkata mesyuarat itu juga bersetuju bahawa parti berkenaan diberi nama ‘Parti Rakyat’ dengan cogan kata ‘Dari Rakyat, Untuk Rakyat’.
“Sebab kami memilih nama ‘Parti Rakyat’ adalah mudah, kami mahu menjadi parti politik rakyat, untuk rakyat, “ katanya.
Sementara itu, Nattaphong dalam ucapan ringkasnya berkata misi beliau, MP, jawatankuasa eksekutif parti, dan seluruh kumpulan kerja parti adalah untuk membawa perubahan sebenar dalam pilihan raya 2027.
Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan pada 7 Ogos untuk membubarkan MFP dan membatalkan hak mengundi ahli jawatankuasa eksekutifnya selama 10 tahun kerana cuba menggugat demokrasi perlembagaan melalui sokongan kempen utamanya untuk meminda Seksyen 112 Kanun Jenayah, yang juga dikenali sebagai undang-undang ‘lese majeste’.
Selain daripada pembubaran, mahkamah turut mengenakan larangan berpolitik selama 10 tahun terhadap 11 Ahli Jawatankuasa Eksekutif MFP yang memegang jawatan antara 25 Mac 2021 hingga 31 Julai 2024.
Antara yang dilarang termasuk Pita Limjaroenrat, 43, yang mengetuai MFP yang mahukan pembaharuan untuk menang semasa pilihan raya umum tahun lepas. – Bernama