Wednesday, January 15, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin EU, UK dan NATO adakan rundingan pertahanan

    BRUSSELS, 14 JAN – Pemimpin EU akan berkumpul di Belgium pada 3 Februari untuk rundingan pertahanan luar biasa yang melibatkan Perdana Menteri Britain dan Setiausaha Agung NATO, dua minggu selepas Donald Trump kembali ke Rumah Putih.

    Rundingan itu akan diadakan pada masa kritikal, dengan penyokong utama Ukraine Britain dan EU menanti janji Trump untuk menamatkan konflik segera selepas mengambil alih kuasa pada 20 Januari. Trump juga telah menuntut anggota NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka.

    “Eropah perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk pertahanannya sendiri,” kata Ketua Majlis Eropah, Antonio Costa dalam surat yang menjemput pemimpin negara dan kerajaan EU ke rundingan di Istana Limont, di luar Brussels.

    “Saya percaya kita berkongsi penilaian yang serupa mengenai ancaman yang dihadapi Eropah,” kata Costa kepada negara anggota dengan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine yang menandakan kembalinya ‘perang intensiti tinggi’ ke benua itu, selain peningkatan ancaman daripada serangan hibrid dan siber terhadap negara anggota.

    “Keamanan di Eropah bergantung kepada kemenangan Ukraine untuk mencapai keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan,” tegas Costa, sambil memberi amaran bahawa prospek geopolitik bagi blok tersebut kekal mencabar dalam masa terdekat.

    Trump mengambil alih kuasa hampir tiga tahun selepas pencerobohan Rusia, ketika tentera Ukraine yang keletihan semakin terjejas di barisan hadapan.

    Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, mengulangi minggu lalu bahawa beliau berharap Amerika Syarikat akan terus menyokong Kyiv tetapi jika tidak, Eropah bersedia untuk memimpin. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda