Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan AI: Penggiat industri digesa cipta kandungan beretika

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kemajuan teknologi digital yang semakin pesat telah membuka peluang besar kepada individu dan syarikat penerbitan untuk berkarya melalui platform-platform media sosial, penstriman langsung dan Over-the-Top (OTT).

    Kandungan berkenaan dapat diakses oleh penonton di seluruh dunia dan membolehkan pencipta kandungan memperluas jangkauan mereka dan menambah pendapatan daripada pelbagai sumber,

    Di samping itu, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) juga menawarkan peluang baharu kepada penggiat industri kandungan dan penyiaran untuk mencipta pengalaman yang lebih interaktif.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Haji Jailani bin Haji Buntar dalam ucapan alu-aluannya di Malam Anugerah Festival Kandungan Brunei (BCF) 2024 yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk mencipta kandungan yang menarik dan inovatif terutama melalui penggunaan AI, Haji Jailani menegaskan perlu juga kita ingat akan kepentingan untuk mencipta kandungan yang beretika dan memastikan bahawa maklumat yang disampaikan adalah tepat, adil dan tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat dan negara.

    Haji Jailani semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    “Oleh itu, penggiat industri perlu mengambil kira akan nilai-nilai moral dan tanggungjawab dalam setiap karya yang dihasilkan, bagi memastikan industri kandungan dan penyiaran dapat berkembang dengan lebih sihat, bukan hanya berteraskan teknologi tetapi juga integriti dan beretika tinggi,” tambahnya.

    Mengulas mengenai insiatif AITI dalam melaksanakan program peningkatan kemahiran untuk membantu pencipta dan penerbit kandungan, Haji Jalani berkata usaha itu dikendalikan dengan kerjasama pihak industri di mana beberapa perbincangan telah diadakan oleh pihak AITI dengan agensi-agensi penyiaran yang terkemuka dari Malaysia dan juga dengan salah sebuah syarikat OTT terbesar di Indonesia, dalam merangka dan melaksanakan program-program kemahiran industri kandungan tempatan, mengadakan penerbitan bersama dan seterusnya membuka peluang pengeksportan kandungan ke luar negara.

    Dalam pada itu, beliau menyatakan inisiatif Content Buzz iaitu sesi dialog industri antara pihak AITI dan pihak industri akan terus dilaksanakan sebagai platform perbincangan, berkongsi pandangan, idea, amalan terbaik dan penyelesaian terhadap isu-isu semasa yang dihadapi oleh pihak industri.

    “Pada tahun ini, Content Buzz telah dianjurkan dua kali di mana isu-isu mengenai bakat kemahiran dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri kandungan telah diperbincangkan secara konstruktif,” kongsinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda