Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak rancang penubuhan kolej teknikal Islam

    MUKAH, 18 SEPT – Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah kolej teknikal Islam bagi memberi peluang kepada anak-anak Islam di negeri itu melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang teknikal di samping mempelajari ajaran Al-Quran, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Tanpa memberikan butiran lanjut, beliau berkata ilmu akhirat dan dunia hendaklah dipelajari agar dapat mengangkat martabat agama Islam supaya masyarakat Islam dihormati dan dicontohi orang lain.

    “Kita menjalankan dakwah melalui apa yang disebut sebagai dakwah bil hal (dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik). Kita hendaklah melaksanakan tugas seperti dikehendaki oleh agama kita serta menjadi contoh dan seterusnya mengekalkan kehidupan dan menaik taraf kedudukan kita melalui pendidikan yang baik,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1446 HIjrah/2024 Masehi di Dataran Setia Raja, kelmarin.

    Abang Johari turut berterima kasih kepada semua umat Islam Sarawak kerana telah bersama-sama kerajaan dalam menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu.

    Majlis perhimpunan dan perarakan itu disertai sebanyak 122 kontinjen jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan.

    Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta pemimpin kerajaan yang kemudiannya turut serta di dalam perarakan berkenaan. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari semasa berucap pada perasmian Pesta Pulau Bruit 2024, Bahagian Mukah pada 14 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda