Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    BILIF-FIN SATU meterai kerjasama

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) dan PT Fin Centerindo Satu (FIN SATU) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama dan kolaborasi ke arah pembangunan modal insan dalam sektor kepimpinan, kewangan konvensional serta kewangan Islam.

    Majlis penandatanganan MoU berkenaan berlangsung di BILIF, hari ini, di mana mewakili BILIF ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dan FIN SATU diwakili oleh Pesuruhjaya, Harianto Solichin.

    Majlis berkenaan dihadiri oleh pengarah-pengarah urusan, pegawai-pegawai eksekutif dan wakil-wakil dari Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Standard Chartered, United Overseas Bank, Bank RHB dan Maybank.

    Penandatanganan MoU berkenaan diterajui oleh FIN SATU iaitu pemilik projek dan pengurus bangunan Menara Syariah di Indonesia.

    Menara Syariah dirancang sebagai sebuah bangunan komersial dan runcit dengan dua gedung pejabat berkembar sebagai pusat ekosistem ekonomi dan pendidikan berdasarkan syariah yang berskala nasional dan antarabangsa di Indonesia yang antara lain merangkumi kegiatan perniagaan, pendidikan, modal insan, hab fesyen, kosmetik serta perjalanan haji dan umrah.

    BILIF telah terpilih untuk bekerjasama dengan FIN SATU bagi menawarkan pendidikan, pensijilan dan program latihan berkuali-ti tinggi kepada ahli profesional Indonesia
    terutama dalam bidang kepimpinan dan kewangan Islam.

    FIN SATU juga berhasrat untuk memasarkan program kepimpinan eksekutif BILIF seperti Young Executive Leadership Programme (YELP), Senior Advanced Leadership (SEAL) Programme dan High Impact Executive Leadership (HIEL) Programme serta program kewangan Islam khas BILIF iaitu Leadership in Islamic Finance & Economics (LIFE) dan Fiqh Mu’amalat Practitioners’ Programme (FMPP).

    Selain itu, BILIF dan FIN SATU juga membincangkan untuk menyediakan pensijilan antarabangsa BILIF dari institusi-institusi ternama seperti Chartered Banker Institute (CBI), Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), London Institute of Banking & Finance (LIBF) dan lain-lain.

    BILIF sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di Brunei, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutama dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.

    Hajah Sufina, Harianto serta para jemputan bergambar ramai selepas majlis penandatanganan MoU berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Hajah Sufinah (kiri) dan Harianto (kanan) menandatangani MoU antara BILIF dan FIN SATU, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...