Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bengkel beri pencerahan intensif berkaitan mengerjakan solat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Seramai 95 orang peserta telah berjaya menamatkan Bengkel Penghayatan dan Penerapan Ibadah Solat anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah yang berlangsung selama dua hari di kolej berkenaan. Para peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian, institusi pengajian tinggi dan orang-orang persendirian telah diraikan dalam majlis penutup, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

    Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Dr Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapannya selaku pengerusi bengkel antara lain mengulas tema bengkel iaitu Sembahyang Tiang Agama, dengan menekankan bahawa hebatnya kedudukan sembahyang sehingga diumpamakan sebagai tiang agama menjadikannya ibadah yang paling utama dalam Islam dan yang pertama dihisab di akhirat kelak.

    Menurutnya lagi, antara faktor orang tidak menunaikan solat termasuk malas atau kurangnya semangat, lemah fikiran (futur) dan bosan.

    “Amalan meninggalkan solat itu merupakan masalah serius kerana baik buruknya perilaku seseorang sangat dipengaruhi oleh solatnya, dan jika ibadah solat dilakukan dengan penuh kesempurnaan termasuk aspek rukun, syarat dan kyusuk, maka ia akan dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

    “Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha untuk konsisten dalam melaksanakan solat sebagai bentuk ketaatan kita kepada Allah SWT,” tambah beliau.

    Manakala itu, wakil peserta, Awang Mohammad Sabry bin Haji Mohd Yusof dan Dayang Norahtina Seriyati binti Haji Omar dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, berkata bahawa bengkel berkenaan banyak memberi pencerahan yang intensif berkenaan bukan sahaja berkaitan mengerjakan solat sebagai ibadah wajib tetapi keutamaan memasang niat yang sebenar solat iaitu mengerjakannya kerana Allah SWT semata-
    mata.

    Ia juga banyak memberi kesan yang mendalam terhadap para peserta untuk sentiasa mengutamakan solat dalam segala hal kehidupan kerana melaluinya banyak kelebihan, fadhilat dan rahsia yang hanya boleh dicapai oleh orang yang mengerjakan dengan ikhlas dan khusyuk.

    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang fasilitator bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...