Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    City diikat Inter 0-0, De Bruyne bimbang tercedera

    MANCHESTER, 19 SEPT — Manchester City bimbang Kevin de Bruyne tercedera menjelang pertembungan dengan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris, selepas pemain itu digantikan pada separuh masa semasa menentang Inter Milan dalam perlawanan Liga Juara-Juara kelmarin.

    Pemain antarabangsa Belgium itu kelihatan tidak selesa selepas membuat larian pada lewat separuh masa pertama. Selepas menerima rawatan, De Bruyne tidak kembali untuk separuh masa kedua dan digantikan oleh Ilkay Gundogan. Perlawanan berakhir 0-0.

    Pengurus City, Pep Guardiola berkata, dia tidak mengetahui tahap kecederaan De Bruyne, tetapi dimaklumkan bahawa pemain itu tidak dapat meneruskan permainan pada separuh masa kedua.

    “Saya belum bercakap dengan doktor lagi,” kata Guardiola mengenai ketersediaan De Bruyne pada hujung minggu. “(Dia akan) Dinilai malam ini, mungkin esok. Kami akan mempunyai maklumat lanjut esok.”

    City dicabar Arsenal dalam dua musim terakhir untuk menjulang kejuaraan. Kelab London utara itu juga dijangka menjadi saingan utama City sekali lagi musim ini.

    Tanpa De Bruyne, City gagal mencari kejayaan menentang Inter dan diketepikan di tempat sendiri dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak seri 0-0 dengan Sporting Lisbon pada Mac 2022.

    Ia adalah kali kedua dalam semua kejohanan sejak itu pasukan Guardiola gagal menjaringkan gol di tempat sendiri.

    City melanjutkan rekod tanpa kalahnya di tempat sendiri dalam perlawanan Eropah kepada 32 kali, sejak kekalahan 2-1 kepada Lyon pada 2018.

    Erling Haaland pula pada mulanya kelihatan gagah apabila memperoleh sembilan gol dalam empat perlawanan pertamanya tetapi Inter berjaya menyekat penyerang Norway itu dengan catatan 99 gol untuk City.

    Haaland juga gagal menjaringkan gol ketika menentang pasukan dari Itali itu ketika final Liga Juara-Juara pada 2023, yang dimenangi City 1-0 untuk menjulang trofi itu buat kali pertama dalam sejarahnya.

    “Mereka handal dalam pertahanan,” kata Guardiola mengenai Inter. – AP

    Reaksi Erling Haaland selepas terlepas peluang menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara antara Manchester City dan Inter Milan di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda