Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Dunia berang terhadap Myanmar

    BANGKOK, 26 JULAI – Kemarahan dunia terhadap pelaksanaan hukuman mati oleh Myanmar ke atas empat orang banduan politik semakin membahang hari ini dengan tunjuk perasaan akar umbi dan kecaman keras daripada kerajaan-kerajaan dunia.

    Pelaksanaan hukuman itu menimbulkan kebimbangan yang ia akan menggagalkan usaha untuk menamatkan keganasan dan kacau bilau yang membelenggu negara Asia Tenggara itu sejak tentera merampas kuasa tahun lalu.

    Kerajaan diketuai junta yang merampas kuasa daripada pemimpin awam dipilih, Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, telah dituduh melakukan beribu-ribu pembunuhan di luar bidang kehakiman sejak itu, namun hukuman gantung diumumkan kelmarin merupakan pelaksanaan rasmi pertama negara itu dalam masa berdekad-dekad.

    Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Malaysia mengutuk pelaksanaan hukuman mati terhadap empat aktivis oleh junta Myanmar dan melihat tindakan itu sebagai satu jenayah terhadap manusia sejagat.

    Saifuddin berkata demikian hari ini dalam satu sidang media selepas bertemu Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar, Noeleen Heyzer, mengulangi kutukan keras Setiausaha Agung terhadap hukuman mati itu, yang dilihat sebagai pencabulan terang-terangan terhadap hak untuk hidup, kebebasan, dan keselamatan manusia.

    Warga Myanmar di Thailand memegang gambar pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi ketika mengadakan bantahan di luar kedutaan Myanmar di Bangkok, Thailand. Pelaksanaan hukuman gantung oleh Myanmar ke atas empat banduan politik telah mencetuskan kemarahan berleluasa antarabangsa. – AP

    “Saya percaya pertemuan menteri-menteri luar ASEAN di Phnom Penh nanti akan meneliti perkara itu,” kata Saifuddin, menekankan mengenai pertemuan yang akan berlangsung di Kemboja dalam masa seminggu.

    “Dengan penghukuman itu, kami melihatnya seolah-olah junta mempersenda 5PC ASEAN dan saya fikir kita perlu melihat perkara ini dengan serius,” tambah Saifuddien.

    Di Bangkok, beratus-ratus penunjuk perasaan pro-demokrasi mengadakan bantahan di luar kedutaan Myanmar, mengibarkan bendera dan melaungkan slogan di tengah-tengah hujan lebat.

    “Diktator menggunakan kuasa mereka sewenang-wenangnya,” jerit seorang lelaki melalui pembesar suara di tengah orang ramai, sebahagiannya membawa gambar-gambar Suu Kyi atau empat lelaki yang dihukum gantung. “Kami tidak boleh bertoleransi dengan perkara ini lagi,” tambahnya.

    Pelaksanaan hukuman mati itu pada hujung minggu lepas mengejutkan dunia dan dilaporkan secara meluas serta menerima kecaman antarabangsa.

    “Ini adalah tindakan kejam oleh rejim tentera Myanmar,” kata Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta. Manakala Menteri Luar Australia, Penny Wong mengatakan beliau ‘terkejut’ dengan hukuman itu. “Australia membantah hukuman mati dalam apa jua keadaan bagi orang ramai,” katanya.

    Turut menyertai Australia dan New Zealand mengecam Myanmar ialah Kesatuan Eropah, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Norway dan Korea Selatan.

    Pengerusi ASEAN, Kemboja mewakili negara-negara ASEAN pula mengecam penggantungan itu sebagai ‘amat keji.’ – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...