Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    IPT hadiri taklimat pemberigaan HBK

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Taklimat Pemberigaan Anugerah Hari Belia Kebangsaan (HBK) 2023 bersempena Sambutan HBK ke-18, Tahun 2023 telah diteruskan lagi hari ini yang berlangsung di Dewan PM Dato Sharifuddin, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam.

    Taklimat yang dikendalikan oleh Urus Setia Anugerah HBK ke-18 Tahun 2023 itu dikhususkan bagi para penuntut institut pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei, Kolej Cosmopolitan, Kolej IGS, Kolej Antarabangsa Micronet, Institut KEMUDA dan Kolej Perdagangan Laksamana.

    Pada program berkenaan, taklimat mengenai ‘Pengenalan Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2023’ disampaikan oleh Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman; manakala ‘Tatacara Pendaftaran Anugerah Hari Belia Kebangsaan’ telah dijelaskan oleh Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Dayang Shahrinah binti Haji Abdul Rahman.

    Hajah Noor Maslina antara lain menjelaskan, anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan negara kepada pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menyahut titah serta hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan belia suatu aset yang perlu diberi fokus dan dihargai.

    Ini membuktikan bahawa golongan belia tidak pernah diabaikan oleh pihak kerajaan dan sentiasa diberi perhatian penuh dalam pembangunan belia. Penyediaan kemudahan dan prasarana merupakan bukti kesejahteraan dan kehendak belia terpelihara.

    Dalam taklimat itu, beliau turut mengongsikan mengenai empat kategori anugerah iaitu Anugerah Belia Cemerlang (BC), Anugerah Belia Berkhidmat (BB), Anugerah Pemimpin Muda Belia (PMB), dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB).

    Bagi pencalonan, orang ramai boleh mendaftar melalui pautan https://tinyurl.com/AHBK2023 dan maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman sesawang www.hbk.gov.bn dengan tarikh tutup pencalonan ialah pada 5 Jun depan.

    Sesi taklimat turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama penerima Anugerah BC, Tahun 2022, Dr Awang Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof, sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab yang dibukakan kepada hadirin.

    Hajah Noor Maslina dan Dayang Shahrinah semasa menyampaikan taklimat di Dewan PM Dato Sharifuddin, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam.
    Para penuntut dari IPT semasa menghadiri taklimat tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...