Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kemarau beri rezeki berganda buat penggali telaga tiub di Kelantan

    Gambar Bernama

    Masalah mendapatkan bekalan air bersih yang semakin kritikal di Kelantan terutama pada musim kemarau ini membuka peluang kepada pengusaha perkhidmatan membina telaga tiub di negeri ini meraih pendapatan lumayan.

    Mohd Jamil Yaakob, 34, yang lebih popular dengan nama Raja Air Boring berkata permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang ditawarkannya meningkat secara luar biasa sejak beberapa bulan lepas.

    “Tahun ini permintaan terhadap perkhidmatan penggalian telaga tiub sangat memberangsangkan sehingga kami tidak menang tangan untuk memenuhi kehendak pelanggan.

    “Purata pendapatan kami setakat ini melebihi RM10,000 sehari bagi tiga pemasangan telaga tiub bergantung kepada kedalaman dan struktur tanah di lokasi pembinaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. Berikutan permintaan yang semakin meningkat, Mohd Jamil yang memulakan kerjayanya sejak tiga tahun lepas itu telah menambah jumlah pekerjanya kepada 11 orang berbanding dua pekerja sebelum ini.

    Kerja hingga malam

    “Ketika mula-mula bekerja sebagai penggali telaga tiub, saya turun padang sendiri dibantu seorang pekerja dan semua kerja dilakukan secara manual dan memenatkan.

    Mohd Jamil, yang lebih popular dengan nama Rajo (Raja) Air dalam proses membina telaga tiub di Kampung Dewan Kecil, Labok di sini.
    Rajo Air (kiri) bersama pekerjanya dalam proses membina telaga tiub di Kampung Dewan Kecil, Labok di sini.
    Mohd Jamil Yaakob, 34, (kiri) yang lebih popular dengan nama Rajo (Raja) Air bersama pekerjanya memilih paip yang akan digunakan untuk membina telaga tiub di Kampung Dewan Kecil, Labok di sini.

    “Selepas sebulan bekerja saya berjaya membeli mesin penggali elektrik yang sangat membantu memudahkan kerja penggalian dan kini saya telah memiliki tujuh mesin pelbagai fungsi yang melancarkan operasi penyediaan telaga tiub,” katanya.

    Mohd Jamil berkata dengan pertambahan pekerja, beliau kini mampu menerima lebih banyak tempahan termasuk dari sekolah, masjid dan ladang tanaman dengan bayaran perkhidmatan mencecah RM30,000.

    Katanya, dalam keadaan tertentu beliau bersama pekerjanya turut menjalankan kerja-kerja penggalian telaga tiub pada waktu malam memandangkan permintaan yang sangat menggalakkan.

    “Ia termasuk keperluan sebuah sekolah agama di Pasir Mas yang terpaksa ditutup selama dua hari kerana tiada bekalan air selain memenuhi keperluan beberapa masjid,” katanya.

    Seperti dapat ‘jackpot’

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Univesiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata minatnya terhadap bidang perkhidmatan yang diceburinya ketika ini tercetus ketika beliau bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat penapisan air terkemuka di negeri ini.

    Katanya, sepanjang mengendalikan pelanggan, beliau mendapati ramai yang mengadu berdepan masalah mendapatkan air bersih bagi memasang penapis air di kediaman masing-masing. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...