Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Konvoi buka tirai sambutan 60 tahun Sarawak merdeka

    KUCHING, 24 MAC – Konvoi Kembara Sarawak Merdeka menjelajah 12 Bahagian di negeri ini akan membuka tirai sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka tahun ini bermula Mei hingga Ogos ini.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata konvoi kembara tersebut akan menjadi acara utama antara sembilan program berskala besar diatur sempena sambutan perayaan bertemakan Sarawak Maju Makmur.

    Beliau berkata Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan bermulai di Limbang pada 28 Mei dan berakhir di Kuching pada 22 Julai ini.

    “Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah bersetuju untuk mengikuti (konvoi kembara) peringkat kedua bermula 10 Jun dari Miri ke Bintulu sama ada menggunakan motosikal atau kereta,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Beliau berkata acara kedua ialah Pameran Digital 60 Tahun Sarawak yang akan diadakan di seluruh bahagian dan menjelajah bersama konvoi kembara tersebut bermula dari 28 Mei sehingga 22 Julai depan, selain Majlis Kesyukuran Perdana di masjid dan rumah ibadat di seluruh negeri pada 21 Julai.

    Abdul Karim berkata acara kemuncak sambutan tahun ini ialah perhimpunan dan perarakan raksasa di Padang Merdeka, di sini, pada 22 Julai bermula jam 8:30 pagi, disusuli majlis penyampaian pingat peringatan kepada individu yang telah berjuang kepada pembangunan Sarawak sepanjang enam dekad kemerdekaannya.

    Katanya, pada sebelah malam hari yang sama, satu majlis Jamuan Negeri sempena sambutan itu akan diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, selain Konsert Rakyat dan persembahan bunga api di Padang Merdeka di sini bermula jam 8 malam.

    Menurutnya, sambutan itu akan turut diserikan dengan perarakan kapal berhias di Tebingan Kuching pada 29 Julai, selain persembahan ‘Street Parade’ diadakan di bandar raya ini pada 5 Ogos, Sibu (12 Ogos) dan Miri pada 19 Ogos ini. – Bernama

    Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...