Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Lebih $334 juta diperuntukkan bagi Kementerian Pembangunan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Kementerian Pembangunan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 diperuntukkan sebanyak $334,918,862 di mana daripada jumlah berkenaan, $115,181,970 untuk gaji kakitangan dan $109,937,590 untuk perbelanjaan berulang-ulang.

    Sementara itu, $119,799,302 disediakan bagi projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 yang sedang dan akan dilaksanakan.

    Peruntukan berkenaan diterangkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam mukadimahnya ketika membentangkan peruntukan Kementerian Pembangunan Tahun Kewangan 2023/2024 di permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    “Dalam usaha mencapai Matlamat Kedua Wawasan 2035 iaitu Kualiti Kehidupan Tinggi bagi Rakyat dan Penduduk negara ini, kementerian itu akan terus komited dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan awam dalam mendukung keperluan sosio dan ekonomi negara.”

    Ke arah itu, ujar beliau, perbelanjaan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 akan menumpukan kepada enam perkara iaitu untuk mempertingkatkan pemeliharaan aset bagi peralatan dan kelengkapan di bawah kawalan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.

    Kedua, untuk melaksanakan pembinaan rumah selaras dengan perancangan dan meningkatkan pemuliharaan perumahan yang memerlukan pembaikan antaranya rumah-rumah transit teres di bawah RPN dan penambahbaikan apartmen di Skim Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan dan ketiga, meningkatkan pemeliharaan aset-aset perkhidmatan air bagi menjamin bekalan air yang bersih dan berterusan.

    Fokus keempat, tambah beliau, kesediaan infrastruktur dalam menangani impak perubahan iklim dan kenaikan paras laut terutama sekali dalam mitigasi bencana banjir dan perlindungan persisiran pantai. Kelima, menyediakan dan membukakan tanah-tanah kerajaan yang berpotensi untuk dimajukan bagi kemajuan bercampur manakala itu, keenam, pengurusan alam sekitar yang bersih dan berdaya tahan bagi perairan dan darat termasuk pembersihan Sungai Brunei dan pengurusan taman dan landskap.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...