Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Logo rekaan Pelukis Tingkat 2, Jabatan Adat Istiadat Negara, Awang Mohammad Nuramar Faiq @ Bahrin telah dipilih sebagai pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025.
Pertandingan mencipta logo itu telah dibukakan kepada orang ramai pada 30 November lalu dan pertandingan ditutup pada 24 Disember 2024.
Orang ramai yang berhasrat untuk menggunakan logo berkenaan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Urus Setia Jawatankuasa Kerja Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025.
Permohonan tersebut, termasuk bagi mendapatkan Logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025, yang mempunyai resolusi tinggi, bolehlah dipohonkan melalui e-mel urusetiahk@kkbs.gov.bn.
Logo dan Tema iaitu ‘Bersatu mencapai Cita Negara’ Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, serta huraian bolehlah didapati dalam laman sesawang Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, iaitu www.kkbs.gov.bn / www.mcys.gov.bn
Sementara itu, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 ingin memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Acara Kemuncak Upacara Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 untuk diadakan pada 23 Februari pada sebelah pagi di Taman Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.