Saturday, May 4, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    OIC kutuk genosid berterusan Israel di Semenanjung Gaza

    KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang tragis dan berterusan oleh pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki susulan laporan penemuan kubur besar baru-baru ini di perkarangan Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.

    OIC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata penemuan itu menunjukkan beratus-ratus individu yang hilang tempat tinggal, cedera dan sakit serta konvoi perubatan, telah dikenakan penyeksaan dan penderaan sebelum dibunuh dan dikebumikan secara besar-besaran.

    “OIC menganggap ini sebagai jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan keganasan negara terancang yang memerlukan penyiasatan, pertanggungjawaban dan sekatan di bawah undang-undang jenayah antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

    OIC menganggap pendudukan Israel bertanggungjawab atas kesan jenayahnya dan amalan pengganas yang berterusan terhadap rakyat Palestin, sambil menekankan bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa mesti memikul tanggungjawabnya dalam hal ini.

    “OIC memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan, mengenai keperluan untuk menghentikan jenayah perang yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Semenanjung Gaza dan memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

    Agensi pertahanan awam Gaza dalam kenyataan pada Isnin berkata pekerja kesihatan telah menemukan sekurang-kurangnya 283 mayat yang dikebumikan dalam kubur besar di pekarangan hospital itu selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April berikutan serangan darat selama 4 bulan.

    Sekurang-kurangnya 34,151 rakyat Palestin terbunuh dan 77,000 yang lain cedera dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lepas, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan yang teruk di kawasan itu. – Bernama

    Seorang wanita menangis atas kematian anaknya di hospital Al Aqsa di Deir al Balah berikutan pengeboman Israel di kem pelarian Maghazi, tengah Semenanjung Gaza, pada 16 April 2024. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...