Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Penternak ikan harap kerajaan bantu turunkan harga dedak

    GUA MUSANG – Pengusaha ikan air tawar di daerah ini berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada masalah harga dedak yang meningkat mendadak sejak awal tahun ini.

    Seorang pengusaha Mat Nawi Hussin, 63, berkata permintaan terhadap ikan patin, kelah, tilapia, tongsan dan lampam krai yang diusahakannya mendapat permintaan setiap hari, namun hasil jualan masih tidak dapat mengimbangi kos perbelanjaan yang dikeluarkan.

    “Meskipun setiap minggu saya dapat menjual ikan kelah yang harganya mencecah RM500 bagi ikan betina yang berat dua kilogram (kg) ke atas, hasil jualan masih tidak memberangsangkan kerana kenaikan harga dedak yang mendadak sejak awal tahun ini, harga biasa bagi satu beg makanan seberat 20 kg ialah RM54, namun naik mendadak kepada RM95 awal tahun ini.

    “Saya mula menternak sejak 1993, memang terdapat kenaikan harga dedak tetapi tidaklah terlalu ketara, namun semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 hingga sekarang, saya rasa amat terbeban memandangkan ia makanan yang wajib dibekalkan kepada ternakan untuk dapatkan protein dan nutrisi yang mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di kolam ternakannya di Lepan Jaya, di sini hari ini.

    Mat Nawi berkata beliau memerlukan sebanyak enam beg dedak sehari untuk kira-kira 100,000 ekor ikan ternakannya.

    Penternak ikan air tawar Mat Nawi Hussin, 63, menabur makanan untuk ikan-ikan peliharaan yang diusahakannya sejak 1993 ketika ditemui pemberita di kolam ternakannya di Lepan Jaya. – Bernama

    Namun ekoran kenaikan kos makanan itu, beliau terpaksa meng-urangkan kepada hanya tiga beg sehari malah menggantikannya dengan makanan sampingan lain seperti anak ikan, roti dan buah-buahan berikutan perbelanjaan bulanan bagi dedak mencecah RM20,000 sebulan.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan Asharun Uji berkata pihaknya mengambil maklum berkenaan perancangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan untuk meningkatkan sektor pertanian dan perladangan, namun pengusaha tempatan tidak seharusnya dibebankan dengan kenaikan kos bahan asas seperti dedak.

    “Pertubuhan Peladang Kebangsaan telah menetapkan pelan hala tuju lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2025 bagi meningkatkan sektor pertanian dan perladangan, namun begitu isu besar bagi penternak sekarang adalah berkaitan dengan harga dedak yang semakin meningkat.

    “Justeru langkah awal atau untuk jangka masa terdekat ia memerlukan tindakan segera pihak kerajaan.

    “Dan untuk jangka masa panjang, peranan serius perlu dimainkan oleh jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan sumber makanan ternakan tidak terjejas,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...