Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Penyakit Parkinson boleh dikawal dengan ubat dan terapi sokongan

    KUALA LUMPUR – Penyakit Parkinson (PD) adalah disebabkan oleh kehilangan sel saraf di bahagian otak yang digelar substantia nigra.

    Ini membawa kepada pengurangan dopamin, bahan kimia yang bertindak sebagai penghantar antara otak dan sistem saraf untuk mengawal dan menyelaraskan pergerakan badan, mengakibatkan pergerakan perlahan dan tidak normal.

    Punca kehilangan sel saraf ini tidak diketahui. Pada masa ini, ia dipercayai gabungan faktor genetik dan persekitaran. PD boleh berlaku dalam keluarga, tetapi jarang sekali ia diwarisi dengan cara ini.

    Terdapat bukti yang tidak dapat disimpulkan bahawa racun perosak dan racun herba serta pencemaran lalu lintas dan industri, boleh menyumbang kepada PD.

    Penyebab lain termasuk ubat-ubatan seperti anti-psikotik, strok dan keadaan otak yang lain.

    MRI otak pesakit Parkinson, dengan sasaran terpilih untuk penempatan elektrod dan trajektori kemasukan untuk rangsangan otak dalam – salah satu pilihan pembedahan untuk menguruskan penyakit berkenaan. – ANN/The Star
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Ubat boleh memperbaiki keadaan terketar-ketar dan pergerakan. Ia biasanya di preskripsi apabila gejala menjadi menyusahkan. – Freepik

    Kehilangan sel saraf merupakan proses yang perlahan, dengan gejala mula berkembang apabila kira-kira separuh daripada aktiviti sel saraf dalam substantia nigra telah hilang.

    PD ialah penyakit neurogeneratif kedua paling biasa selepas penyakit Alzheimer.

    Dianggarkan terdapat 20,000 penghidap PD di Malaysia, dengan anggaran peningkatan lima kali ganda dalam dua dekad akan datang.

    Kebanyakan penghidap PD mengalami simptom apabila mereka berumur lebih daripada 50 tahun, walaupun ada yang mengalaminya sebelum mereka berumur 40 tahun.

    Lelaki lebih cenderung untuk mendapat PD.

    TIADA UJIAN KHUSUS

    Tiada ujian diagnostik khusus untuk PD. Diagnosis dibuat berdasarkan aduan, sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal. Diagnosis pada peringkat awal PD mungkin sukar kerana gejala biasanya ringan.

    Rujukan boleh dibuat kepada pakar neurologi, yang merupakan pakar perubatan dalam keadaan yang menjejas sistem saraf, atau pakar geriatrik, yang pakar dalam keadaan yang menjejaskan warga emas.

    Pakar-pakar akan menjalankan penilaian untuk menentukan sama ada terdapat masalah dengan pergerakan. Keseriusan PD juga akan dikategorikan dengan skala penilaian.

    Penyiasatan pengimejan mungkin dijalankan dalam beberapa kes untuk mengetepikan punca lain simptom.

    RAWATAN SOKONGAN SAHAJA

    Pada masa ini, tidak adanya penawar untuk PD, tetapi terdapat rawatan untuk melegakan simptom dan mengekalkan kualiti hidup untuk pesakit.

    Rawatan mungkin tidak diperlukan pada peringkat awal PD kerana gejala biasanya ringan.

    Penilaian tetap oleh pakar diperlukan untuk memantau perkembangan penyakit.

    Rawatan PD adalah farmakologi dan bukan farmakologi, dengan rawatan bukan farmakologi termasuk terapi sokongan dan pembedahan untuk sesetengah pesakit.

    Terapi sokongan terdiri daripada pelbagai disiplin. Fisioterapi membantu melegakan kekejangan otot, membuatkan pergerakan lebih mudah, meningkatkan berjalan, fleksibiliti dan kecergasan serta keupayaan untuk menguruskan aktiviti harian.

    Terapi pekerjaan membantu menyediakan penyelesaian untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kehidupan seharian dan berdikari selama mungkin.

    Terapi pertuturan dan bahasa boleh meningkatkan percakapan dan menelan. Teknologi bantuan, apabila tersedia, juga boleh membantu.

    Nasihat pemakanan boleh mengurangkan sembelit, penurunan berat badan yang tidak disengajakan dan mengurangkan pening.

    Pembedahan boleh mengurangkan gejala dalam individu tertentu. Jenis pembedahan khusus ini hanya terdapat di pusat pakar tertentu.

    Pakar bedah akan membincangkan risiko dan faedah prosedur dengan pesakit jika pembedahan sedang dipertimbangkan.

    Gejala tambahan, seperti kemurungan, kebimbangan, insomnia, disfungsi erektil, berpeluh berlebihan, kesukaran menelan, air liur berlebihan, inkontinensia kencing dan demensia, juga perlu dirawat.

    PILIHAN FARMAKOLOGI

    Ubat boleh memperbaiki keadaan terketar-ketar dan pergerakan. Ia biasanya di preskripsi apabila gejala-gejala menjadi menyusahkan.

    Walau bagaimanapun, sesetengah pakar mempreskripsikannya semasa diagnosis PD kerana dipercayai bahawa ia akan membawa kepada hasil yang lebih baik.

    Tiga ubat yang biasa diberikan ialah levodopa, agonis dopamin dan monoamine oxidase.

    Kesan sampingan ubat-ubatan berkenaan adalah berbeza.

    Pendekatan ‘bermula rendah, proses perlahan’ boleh meminimumkan kesan sampingan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak semua ubat berkesan untuk setiap penghidap PD.

    TABIAT SIHAT MEMBANTU MENGAWAL PD

    Kebanyakan penghidap PD boleh menjangkakan simptom yang agak ringan untuk beberapa waktu.

    Apabila gejala bertambah buruk, mereka boleh menjangkakan beberapa tahun kawalan yang baik terhadap gejala dengan ubat-ubatan.

    Memandangkan setiap orang berbeza, adalah sukar untuk meramalkan betapa cepat PD akan berkembang.

    Sesetengah orang mungkin menjadi lumpuh dua dekad selepas PD bermula, manakala yang lain mungkin amat lumpuh selepas satu dekad.

    Terdapat beberapa intervensi yang boleh diambil oleh penghidap PD untuk mengurangkan kesannya dan mengekalkan kualiti hidup yang baik.

    Setiap orang akan mendapat manfaat daripada gaya hidup sihat, termasuk diet yang sihat, mengekalkan berat badan yang ideal, senaman yang kerap, rehat mencukupi, amalan seksual selamat, mengelakkan pendedahan nikotin dan mengekalkan vaksinasi semasa.

    Senaman terbukti mampu memperbaiki banyak gejala PD, termasuk keseimbangan, mobiliti, kemurungan, sembelit dan juga kemahiran berfikir.

    Selain itu, terdapat bukti terkumpul bahawa senaman mungkin mempunyai kesan neuroprotektif, memperlahankan degenerasi sel-sel otak.

    Kumpulan sokongan juga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit menghadapi penyakit mereka. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...