SEOUL, 1 MAC – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini menyeru agar masyarakat antarabangsa menyokong ‘usaha penyatuan’ selepas Pyongyang awal tahun ini mengisytiharkan Seoul sebagai ‘musuh utama’.
Hubungan antara kedua-dua negara itu berada dalam keadaan tegang apabila Pyongyang mempercepat program pembangunan senjatanya dan Seoul meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Washington dan Tokyo.
Yoon, yang secara konsisten mengambil pendirian tegas terhadap Korea Utara yang bersenjata nuklear, jarang membincangkan topik penyatuan sejak memegang jawatan pada 2022.
“Usaha penyatuan kita mesti menjadi sumber harapan dan sinar cahaya bagi rakyat Korea Utara,” katanya dalam satu upacara yang menandakan ulang tahun kebangkitan Korea pada 1919 yang menentang penjajahan Jepun.
“Kita mesti bersatu pada jalan yang akhirnya membawa kepada penyatuan semenanjung Korea,” katanya, sambil menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa ‘mesti mengumpulkan kekuatan mereka dengan cara yang bertanggungjawab’. – AFP