Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Prestasi jualan runcit Q3 2022 meningkat 4.8 peratus

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Prestasi jualan runcit pada suku tahun ketiga (Q3) 2022 menunjukkan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 4.8 peratus dengan anggaran nilai meningkat daripada $407.4 juta kepada $427 juta.

    Dari segi volum jualan, ia juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.4 peratus tahun-ke-tahun.

    Perangkaan itu dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran akhbar mengenai Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidma-tan Makanan dan Minuman (IPM&M) Q3 2022, kelmarin.

    Menurut JPES, peningkatan jualan runcit didorong terutamanya oleh peningkatan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 36.5 peratus, di-ikuti dengan peningkatan jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 27.3 peratus, jualan di stesen minyak 22.8 peratus, dan jualan jam tangan dan barang kemas 22.8 peratus.

    Peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh kenaikan permintaan domestik selaras dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan berikutan tamatnya Fasa Awal Endemik COVID, yang mana jika dibandingkan pada Q3 tahun lepas, banyak sekatan pergerakan telah dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID.

    Di samping itu, volum jualan aktiviti-aktiviti runcit itu juga mencatatkan peningkatan.

    Bagi perkhidmatan makanan dan minuman pula, JPES menjelaskan bahawa ia telah meningkat sebanyak 30.1 peratus berbanding Q3 2021 dengan anggaran hasil jualan meningkat daripada $81.1 juta kepada $105.5 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 26 peratus tahun-ke-tahun.

    Menurut JPES, peningkatan hasil jualan makanan dan minuman terutamanya disebabkan hasil jualan bagi restoran yang meningkat sebanyak 39.7 peratus, diikuti dengan peningkatan hasil jualan kedai makanan segera sebanyak 32.1 peratus, aktiviti perkhidmatan katering 8.7 peratus, dan aktiviti penyajian minuman 6.3 peratus. Peningkatan itu adalah berikutan ketiadaan had kapasiti yang telah bermula sejak awal Jun 2022.

    Berbanding suku kedua (Q2) 2022, jualan runcit pada Q3 2022 menurun sebanyak 8.8 peratus disebabkan penurunan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 33.8 peratus, jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 22.9 peratus, jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 17.8 peratus, jualan di gedung serbaneka 12.2 peratus dan jualan di pasar raya 5.9 peratus.

    Di samping itu, volum jualan bagi aktiviti-aktiviti runcit tersebut juga mencatatkan penurunan.

    Manakala itu, perkhidmatan makanan dan minuman pula mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus pada Q3 2022 berbanding Q2 2022 terutamanya disebabkan oleh peningkatan hasil jualan bagi aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 44.1 peratus, kedai makanan segera 16.5 peratus, dan restoran 4.7 peratus.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan. Laporan penuh boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...