Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pupuk budaya pencegahan di tempat kerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Dalam dekad yang lalu, terdapat 70 kematian berkaitan kerja yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam di mana 61 peratus daripada industri pembinaan.

    Jatuh dari ketinggian merupakan antara salah satu daripada sebab utama dan walaupun terdapat trend penurunan dalam kadar kematian yang direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak bermakna trend berkenaan akan berterusan.

    “Ditambah pula dengan kurang pelaporan dan peningkatan aktiviti-aktiviti pembinaan, keperluan untuk memastikan kepatuhan dengan peraturan-peraturan kesihatan dan keselamatan tempat kerja menjadi lebih kritikal.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Menteri yang Bertanggungjawab bagi Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan bagi memperingati Hari Sedunia untuk

    Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WDSHW) yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

    Yang Berhormat Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyempurnakan pelancaran laman sesawang SHENA yang direka semula. – Gambar oleh James Kon
    Yang Berhormat Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan bagi memperingati WDSHW yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, kelmarin.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Keselamatan dan Undang-Undang) di JPM dan Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, setiausaha-setiausaha tetap dan pemangku setiausaha tetap di JPM, ahli-ahli Lembaga Pengarah SHENA, Ketua Eksekutif Sementara SHENA, Datin Zubaidah binti Haji Mahmud, pihak pengurusan kanan SHENA dan wakil-wakil dari agensi kerajaan serta industri.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya itu menekankan keperluan untuk merenung prestasi negara dan menangani cabaran dalam mengurangkan peristiwa kecederaan dan kematian di tempat kerja.

    Beliau menyatakan bahawa SHENA sedang dalam proses memuktamadkan draf peraturan mengenai kerja di ketinggian dengan Pejabat Peguam Negara.

    Pada masa yang sama, SHENA juga sedang melihat kepada salah satu faktor utama yang menyumbang kepada ketidakpatuhan dengan peraturan keselamatan yang sedia ada iaitu kurangnya atau tidak terdapat penyeliaan yang betul di tempat-tempat kerja.

    Oleh itu adalah berwawasan bagi SHENA untuk melaksanakan Peraturan Penyelaras WSH dan Pegawai Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja (WSH) di mana individu-
    individu yang dilantik oleh SHENA berkenaan memainkan peranan yang penting dalam memastikan terdapat pematuhan di tahap yang boleh diterima dengan undang-undang yang sedia ada.

    Satu lagi peraturan penting yang memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa hak pekerja tidak diabaikan khususnya dalam insiden berkaitan dengan kerja adalah First Aid Regulations 2021.

    SHENA merancang untuk melaksanakan peraturan berkenaan secara berfasa yang bermula dengan pelancaran nota panduan industri pada Mac lalu, tambah Yang Berhormat Pehin.

    Beliau turut menyeru penggubal dasar, majikan-majikan serta pekerja-pekerja untuk bekerjasama bagi mewujudkan sistem selamat yang berkesan di tempat kerja serta memupuk budaya pencegahan.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan pelancaran laman sesawang SHENA yang direka semula bersempena dengan WDSHW.

    WDSHW 2023 membawa tema ‘Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat sebagai Prinsip dan Hak Asas di Tempat Kerja’ yang menekankan kepentingan kesejahteraan holistik pekerja yang merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...