Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Robert Ortberg dilantik CEO baharu Boeing

    NEW YORK, 1 OGOS – Boeing telah melantik bekas ketua Rockwell Collins, Robert ‘Kelly’ Ortberg, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menurut kenyataan daripada syarikat itu, kelmarin.

    Pelantikan itu mula berkuat kuasa pada 8 Ogos ini, ketika syarikat gergasi penerbangan itu melaporkan kerugian besar disebabkan dibelenggu masalah operasi berterusan.

    Ortberg, 64, sebelum ini membantu memimpin Rockwell Collins dan mengintegrasikannya ke dalam United Technology sebelum bersara dari RTX pada 2021.

    Pelantikan beliau dilakukan di tengah-tengah usaha Boeing untuk memulihkan reputasi dan prestasi syarikat selepas beberapa isu keselamatan dan kawalan kualiti yang telah meningkatkan pengawasan terhadap syarikat itu.

    Pada suku kedua, Boeing melaporkan kerugian sebanyak AS$1.4 bilion, berbanding kerugian AS$149 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Sementara itu, pendapatan syarikat jatuh 14.6 peratus kepada AS$16.9 bilion.

    Keputusan suku tahunan itu mencerminkan kesan berterusan daripada bahagian komersial Boeing, di mana syarikat terpaksa mengurangkan pengeluaran sambil meningkatkan amalan keselamatan dan kawalan kualiti di bawah pengawasan ketat pihak berkuasa.

    Keputusan terbaharu itu juga menunjukkan kelemahan besar dalam perniagaan pertahanan Boeing disebabkan beberapa kontrak harga tetap di mana ia mengalami kerugian besar berpunca daripada masalah rantaian bekalan, kos kejuruteraan yang lebih tinggi serta isu teknikal yang turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi. – AFP

    Pesawat Boeing 777X semasa dipamerkan di Pertunjukan Udara Paris di Le Bourget, utara Paris, Perancis pada 19 Jun 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda