Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Surat khabar masih main peranan penting – Anwar

    IPOH, 28 MEI – Surat khabar tetap mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan berpotensi untuk bertahan jika mengekalkan mutu dan integritinya, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar berkata walaupun media sosial kini mengambil alih peranan akhbar fizikal, namun beliau masih berpandangan surat khabar mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar berbanding media sosial.

    “Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini.

    Bertemakan ‘Media Bebas Tunjang Demokrasi’, kira-kira 1,000 pengamal media menghadiri majlis yang diadakan untuk mengiktiraf peranan media itu.

    Dalam pada itu, Anwar berkata tugas seorang wartawan itu bukan sekadar perakam idea, sebaliknya pencetus idea yang berteraskan nilai.

    “Bila berkata bicara negara ini MADANI, demokrasi, maknanya kita nak terapkan nilai, bukan fahaman sempit yang boleh melemah dan mematikan semangat atau pecah belahkan rakyat.

    “Jadi pembentukan nilai dan MADANI itu penting, ini (MADANI) istimewa dan unik kerana menekankan nilai dan akhlak itu mendasari pemikiran, pembangunan, kebebasan kewartawanan dan lain lain, jadi saya gesa rakan-rakan untuk sebarkan maklumat berdasarkan ilmu dan nilai,” katanya.

    Anwar juga berkata media negara ini perlu kekal bebas sepenuhnya dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan, bagaimanapun perlu mengelak daripada mengeluarkan unsur-unsur yang mengungkit permusuhan kaum dan agama. – Bernama

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Hotel Casuarina pada 28 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...