Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Kejohanan golf amal yang dinanti-nantikan, The Baiduri Masters bakal kembali tahun ini yang akan diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri pada 28 hingga 30 Julai dan 4 hingga 6 Ogos.
Sehubungan itu, Kumpulan Bank Baiduri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan-rakan kongsi bagi kejohanan berkenaan di Bilik Pameran QAF Auto hari ini.
Hasil daripada kejohanan itu akan disalurkan kepada empat pertubuhan kebajikan. Semasa edisi terakhir kejohanan, pada 2019, sebanyak $85,000 telah berjaya dikumpulkan untuk pertubuhan kebajikan.
Pada majlis penandatanganan berkenaan, QAF Auto Sdn Bhd dan Brunei Press Sdn Bhd masing-masing telah menandatangani sebagai rakan kongsi acara dan media, manakala MixMedia sebagai rakan kongsi kreatif acara, serta YOUC1000 (Hui Huang Enterprise) dan Rainfresh (Superwater Marketing Sdn Bhd) selaku rakan hidrasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa rakan kongsi lama mereka dan penaja tetap The Baiduri Masters terpaksa menunggu lama bagi penganjurannya untuk tujuan murni yang mana kali terakhir diadakan pada 2019.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semangat untuk memberi kembali akan dapat dijayakan pada edisi ke-25 Baiduri Masters.
“Terima kasih sekali lagi kepada rakan kongsi, penaja dan rakan kami daripada komuniti golf kerana penglibatan kali ini yang akan bersama mencipta masa depan yang lebih cerah untuk komuniti dan keluarga ini,” tambah beliau.
Menandatangani bagi pihak Bank Baiduri ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Ti Eng Hui dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perniagaan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Sementara itu, QAF Auto diwakili oleh Pengurus Besar, Alisa Khoo dan Pengurus Pemasaran QAF Auto, Dayang Siti Salwa binti Haji Mustapha. Brunei Press pula diwakili Pengurus Besar, Anafiah binti Omar disaksikan oleh Pengurus Kanan Kewangan dan Operasi, Suzie Houng.
Menandatangani bagi pihak MixMedia ialah Ketua Eksekutif, Azlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Ana Dzulkefdi; Superwater Marketing (Rainfresh) diwakili oleh Pengurus Besar, Haji Abdul Hadi bin Haji Yaakub dan Pengurus Produksi Superwater Marketing, William Chieng Leon Son manakala itu, Pengurus Kewangan Hui Huang Enterprise (YOUC1000), Joan Hii dan Huda Hidayah menandatangani bagi pihak syarikat mereka.
Para peserta akan bersaing untuk Trofi Cabaran baharu, yang diperkenalkan untuk meraikan edisi ke-25 kejohanan dan Jaket Hijau yang diidamkan. Hadiah pukulan terus ke lubang termasuk BMW iX3, Mini Cooper 3 Door Brick Lane Edition atau $20,000.
Pendaftaran bagi The Baiduri Masters kini dibukakan dan para pemain yang berminat boleh mendaftar dengan menghantar borang dan membuat pembayaran penuh di kaunter pendaftaran Kelab Golf Pantai Mentiri.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.baiduri.com atau dengan menghubungi Kelab Golf Pantai Mentiri di talian 2791021.