Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seramai 13 orang peserta akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Pertandingan WorldSkills ASEAN Singapore 2023 yang bakal diadakan 23 hingga 25 Julai depan.
Sehubungan itu, majlis penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada kontinjen berkenaan telah diadakan hari ini di The Longhouse Training Restaurant, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal.
Daripada jumlah peserta berkenaan sembilan dari IBTE, dua dari Politeknik Brunei (PB) dan dua lagi dari Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad yang menyerahkan bendera negara kepada Ketua Pegawai Eksekutif IBTE dan Pengarah Pendidikan Teknikal,Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku ketuakontinjen.
Terdahulu itu, Dr Haji Mohd Zamri dalam ucapannya antara lain menjelaskan, peserta yang terpilih bagi mewakili negara ke pertandingan ini adalah pilihan terbaik yang menunjukkan kebolehan dan kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing.
“Peserta yang terpilih juga telah menjalani latihan intensif untuk mengasah kemahiran mereka dan seterusnya diberikan pengukuhan dan ketahanan dan jati diri mereka melalui endurance training,” tambah beliau.
Beliau turut mengongsikan, sepanjang penyertaan negara selama 22 tahun, Brunei Darussalam telah pun memenangi beberapa pingat dan berharap dalam pertandingan kali ini kontinjen negara akan berusaha gigih untuk meraih beberapa pingat dan mendapat kedudukan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon.
WorldSkills ASEAN ialah pameran terbesar kemahiran profesional dan teknikal di rantau ASEAN dan membawa objektif pergerakan WorldSkills ke Asia Tenggara.
Pertandingan kemahiran berkenaan bermula melalui perjanjian dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 1993 dengan tujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan standard kemahiran di rantau ASEAN ke peringkat antarabangsa, serta untuk memotivasikan belia untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka.