Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    BIBD pupuk generasi akan datang

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Dengan Brunei bergerak ke arah masa depan mampan, Anugerah Kepimpinan Belia Mampan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) merupakan bukti komitmen dan usaha kolektif negara untuk memupuk pemimpin generasi akan datang menerusi pendekatan seluruh negara.

    Anugerah itu diharap akan menjadi inspirasi bagi belia dan masyarakat untuk menyumbang secara aktif ke arah visi Negara Brunei Darussalam yang mampan dan dinamik.

    “Di BIBD, kami percaya dalam memupuk dan memperkasakan pemimpin generasi akan datang memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji
    Mohamad.

    Menurut Awang Junaidi lagi, dedikasi golongan belia dalam memajukan Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) memberikan mereka harapan dan optimisme.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Kluster Pendidikan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Kluster Pekerjaan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah bagi pemenang kategori Health Cluster. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah bagi pemenang kategori Environment. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Bergambar ramai. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada peserta-peserta. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Seterusnya beliau menerangkan bahawa anugerah itu menyediakan sebuah platform bagi mengiktiraf dan menghargai juara belia cemerlang yang telah menunjukkan komitmen luar biasa kepada amalan-amalan mampan.

    “Inisiatif-inisiatif dan projek-projek awda yang benar-benar menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat kita telah menunjukkan bagaimana belia-belia Brunei ingin untuk membuat sumbangan dan impak yang lebih besar ke arah Wawasan Brunei 2035 dan UN SDG.”

    Anugerah itu merupakan langkah besar ke arah menjana Brunei yang lebih baik dan mampan di mana dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin
    muda berkenaan dipercayai mampu memberikan kesan bagi perubahan positif di serata negara, tambahnya.

    Di majlis itu, empat pemenang dalam Kluster Pekerjaan, Alam Sekitar, Kesihatan dan Pendidikan telah dianugerahkan sebanyak $3,000 setiap seorang sebagai mengiktiraf idea dan potensi luar biasa ke arah membina sebuah masa hadapan mampan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada empat pemenang tersebut terdiri daripada Kluster Pendidikan iaitu Project Hayaa, Kluster Alam Sekitar iaitu Iklim Chapters, Kluster Kesihatan iaitu Project Pink Box serta Kluster Pekerjaan iaitu Upskilling Tutong.

    Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD adalah hasil kolaborasi antara BIBD, Pejabat Sekretariat Wawasan Brunei di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Green Brunei selaku wakil Majlis Belia Brunei yang bermatlamat untuk memperkasakan belia bagi menerajui usaha ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dan UN SDG.

    Ia juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-34 Negara Brunei Darussalam yang menyeru generasi muda yang kaya dengan idea baharu agar tidak segan dengan cabaran untuk memajukan negara.

    Berikutan dengan penyampaian anugerah berkenaan, empat kumpulan yang menang akan melalui fasa pelaksanaan projek mereka selama enam bulan di mana sumbangannya adalah selaras dengan matlamat Brunei dalam Wawasan Brunei 2035.

    Setelah itu, setiap kumpulan akan dinilai dan BIBD akan memberikan pengiktirafan lanjut iaitu Anugerah Kepimpinan Belia Mampan BIBD bagi Most Inspiring Male Leader dan Most Inspiring Female Leader di mana setiap seorang akan menerima Akaun Aspirasi BIBD berjumlah $1,000 yang mengiktiraf komitmen serta kepimpinan contoh mereka.

    Sementara itu, Projek Mampan Keseluruhan Terbaik pula akan menerima anugerah utama dengan hadiah berjumlah $3,000 yang mengiktiraf impak luar biasa melalui pelaksanaan pelan mereka dan bagaimana ia berpotensi untuk menjana perubahan yang berkekalan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...