Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Bolehkah telefon pintar ganti kamera profesional?

    SINGAPURA – Telefon pintar telah banyak mengalami perubahan sejak ia menjadi popular kira-kira 15 tahun lalu.

    Namun bagi jurugambar, bagaimana ‘kamera poket’ ini membantu menjalankan tugasnya dalam beberapa tahun ini?

    15 tahun lalu pada 9 Januari 2007, mendiang ketua eksekutif Apple, Steve Jobs melancarkan iPhone Apple pertama di konvensyen Macworld di San Francisco. Beberapa hari kemudian pada 29 Januari bulan yang sama, i-Phone pertama mula dijual.

    Sementara telefon bimbit mempunyai skrin sentuh sebelum ini, ia sebahagian besarnya bergantung pada pad kekunci dan stylus, hanya menawarkan versi internet yang lebih ringkas.

    Telefon lebih lama pastinya mempunyai kamera (Kyocera melancarkan telefon di Jepun pada 1999 dengan kamera 0.11MP dan boleh merakam sehingga 20 gambar sebelum storan dalam telefon menjadi penuh), namun kualiti, dan potensi mengedit dengan serta-merta dan perkongsian di internet seperti yang ada hari ini – masih belum wujud.

    Gambar anak lelaki jurugambar eksekutif Desmond Foo, dirakam pada awal pagi di hotel semasa percutian di Osaka pada Disember 2019. – ANN/The Straits Times
    Seorang wanita dalam pakaian warna merah muda berjalan-jalan di Marina Reservoir pada Julai 2015. – ANN/The Straits Times
    Gambar nimfa belalang di lenggai teratai yang diambil di kebun wartawan Alphonsus Chern. – ANN/The Straits Times

    Buat masa sekarang, hampir kesemua jenama telefon bimbit utama mempunyai kamera berkualiti tinggi yang membolehkan mengambil gambar yang cukup bagus untuk digunakan dalam penerbitan malah di papan iklan, dan penggambaran video yang sesuai untuk penerbitan komersial.

    Bagi jurugambar dan juruvideo profesional, kamera telefon pintar bolah digunakan sebaiknya tanpa kehadiran peralatan profesional. Kejelasan gambar boleh dikawal, kelajuan pengatup boleh diselaraskan malah kamera gerakan perlahan yang popular boleh diaktifkan sekiranya seseorang terasa ingin mengharungi cabaran dan risiko.

    Di bahagian Sudut Gambar The Straits Times, kami terus menggunakan kamera digital profesional untuk kerja-kerja kami, tetapi semakin banyak bebanan kerja kini perlu dirakam menggunakan kamera telefon kami atas pelbagai sebab berlainan.

    Ciri-ciri kamera telefon yang mudah diakses dan tidak menonjol menjadi faktor yang menjadikannya ideal untuk mengambil gambar pemandangan unik dalam kehidupan harian.

    Berulang-alik menyiapkan tugasan mengambil sebahagian besar masa kami. Walaupun kami membawa kamera profesional bersama kami sepanjang masa, telefon bimbit ada kalanya bagus untuk merakam suasana damai dan secara sepintas lalu.

    Memandangkan telefon terdapat di mana-mana, ciri ini menjadikannya alat yang boleh dimanfaatkan tanpa menjejas kualiti.

    Ada kalanya juga apabila kami tidak mempunyai kamera profesional bersama kami dan telefon berfungsi sebagai alternatif ideal untuk merakam peristiwa manis, seperti merakam sinar cahaya indah semasa membeli-belah pada awal pagi, terserempak dengan anjing semasa makan tengah hari atau ternampak titisan air yang cantik semasa menunggu di lampu isyarat.

    Bagi kami, fungsi dalam telefon bimbit berkenaan akan kami gunakan untuk situasi tertentu.

    Misalnya, jurugambar wartawan eksekutif Lim Yaohui ingin memaparkan dek atas bumbung terbuka di Balai Cerap Supertree di Garden by the Bay, yang menawarkan pemandangan persekitaran 360 darjah tanpa sebarang halangan.

    Demi merakam pemandangan ini dalam satu imej, dia memutuskan untuk menggunakan panorama.

    “Mod panoramik iPhone membenarkan kami mengambil gambar panoramik tanpa menggunakan perisian tambahan untuk menggabungkan semua gambar bersama sekiranya dirakam menggunakan kamera digital biasa,” ujarnya.

    Fungsi kamera telefon bimbit telah banyak berubah sejak tahun-tahun kebelakangan ini sehinggakan seseorang boleh menggunakan telefon bimbit yang ditenggelami dalam air dan seterusnya menggunakannya untuk mera-kam panahan petir dan bunga api di langit pada waktu malam, tanpa perlu membawa peralatan kamera bernilai kira-kira AS$10,000.

    Penggunaan telefon bimbit dalam bidang kerja kami tidak mengurangkan peranan dan fungsi wartawan. Sebaliknya, tumpuan diberikan pada penggunaan peralatan yang sesuai dalam situasi betul, yang dapat membantu kami menjalankan tugas kami dengan lebih efisien.

    Menurut firma pakar runding Rise Above Research, 1.5 trilion gambar dijangka dirakam di seluruh dunia pada 2022, dengan 91 peratus diambil menggunakan kamera telefon bimbit, dan jumlah ini dijangka terus meningkat pada masa depan.

    Walaupun telefon pintar adalah alat mengagumkan untuk mengambil gambar, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan lebih baik dengan ka-mera digital profesional pada masa ini, seperti merakam gambar aksi dalam cahaya malap atau merakam acara sukan yang memerlukan jarak fokus yang signifikan.

    Secara kesimpulan, kelengkapan hanyalah satu alat untuk memudahkan kerja kami, dan ia bukan faktor penentu apabila membabitkan penguasaan aspek teknikal dan juga aspek fotografi lain, seperti komposisi dan pencahayaan. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...