Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    China bantu HK bina unit isolasi

    HONG KONG, 20 FEB – Kru-kru pembinaan dari tanah besar China telah membantu Hong Kong membina dua kemudahan pengasingan sementara bagi menempatkan ribuan pesakit hari ini ketika seorang pegawai kanan mengumumkan bandar itu ‘berdepan pergelutan’.

    Hab kewangan China yang penuh sesak berada dalam keadaan penularan koronavirus paling teruk, mendaftarkan ribuan kes sehari ketika hospital-hospital berdepan tahap genting.

    Penggunaan dasar sifar COVID-19 ketat seperti China dapat mengekalkan jangkitan terkawal selama dua tahun tetapi mengakibatkan bandar itu terputus hubungan dengan negara luar.

    Dan apabila varian Omicron yang mudah menular meletus, pihak berkuasa tidak bersedia dengan penduduk warga emas yang belum divaksinasi dan hanya beberapa pelan dirancang untuk menangani penularan besar-besaran.

    Lewat kelmarin, pemimpin bandar itu, Carrie Lam mengumumkan China State Construction International Holdings, konstruktor milik kerajaan terbesar di Hong Kong, akan memulakan kerja membina dua kemudahan pengasingan sementara untuk menyediakan 9,500 katil tambahan.

    Pemandangan menyeluruh tapak pembinaan sebuah kemudahan pengasingan untuk menempatkan pesakit koronavirus dilihat di Kai Tak di Hong Kong pada 20 Februari. – AFP

    Unit itu akan terletak di Penny’s Bay, yang sudah pun menempatkan kem kuarantin dan di Kai Tak bekas lapangan terbang lama bandar itu.

    Lam juga mengumumkan bahawa tiga hotel akan digunakan untuk menyediakan 20,000 katil tambahan.

    Ketua Setiausaha John Lee, pegawai nombor dua Hong Kong, menulis dalam blog rasminya hari ini bahawa pentadbiran wilayah itu dalam ‘pergelutan’.

    “Dengan sokongan kuat dari tanah besar kami, kami sudah pasti akan memenangi pertempuran ini,” kata Lee.

    Belum jelas bila kemudahan baharu itu akan siap atau adakah ia akan mencukupi untuk menampung beban kes di Hong Kong.

    Di bawah arahan China, Hong Kong menurut dasar untuk cuba mengasingkan semua orang yang diuji positif dan menolak gesaan untuk beralih kepada strategi untuk hidup bersama COVID-19.

    Beberapa hari lalu, para pegawai telah mengumumkan sekitar 6,000 kes harian dengan jumlah sama ‘positif awal’ yang masih lagi disahkan.

    Sekitar 22,000 kes telah direkodkan sejak penularan baru-baru ini yang melanda bulan lalu berbanding hanya 12,000 dalam dua tahun sebelumnya.

    Beberapa buah hospital terpaksa menempatkan para pesakit di luar dalam keadaan cuaca sejuk sementara ribuan lagi masih menunggu di rumah di apartmen kecil dengan keputusan ujian positif. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka korban banjir di Afghanistan cecah 400 orang

    KABUL, 19 MEI - Hujan lebat dan banjir di Afghanistan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 400 kematian, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik laporan Tolo News yang...