Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Penduduk Colombia selesa hidup bersama badak air

    PUERTO TRIUNFO, COLOMBIA – Alvaro Molina sebelum ini berselisih dengan sekumpulan ‘jiran’ yang berbadan tegap dan muncul kira-kira satu abad yang lalu di sepanjang sungai di hadapan rumahnya di wilayah Antioquia, Colombia.

    Tetapi dia kini belajar untuk tinggal bersamanya dan turut meluahkan kebimbangan mengenai rancangan pihak kerajaan yang boleh membahayakannya.

    Orang ramai di sekitar Puerto Triunfo telah membiasakan diri dengan sekumpulan badak air yang mana sebilangannya diimport secara haram dari Afrika pada 1980-an oleh Pablo Escobar, yang bekas ladangnya terletak berhampiran.

    Molina, 57, berkata dia menyokong badak air tersebut walaupun dia adalah salah seorang daripada segelintir warga Colombia yang telah diserang oleh haiwan berkenaan. Kejadian itu berlaku pada suatu hari ketika dia keluar untuk memancing apabila dia merasakan pergerakan di bawah sampannya yang membuatkan dia jatuh ke dalam air. “Badak air betina pernah menyerang saya – pasangan badak air pertama yang tiba di sana – kerana ia baru melahirkan,” katanya.

    Dalam beberapa minggu, kerajaan Colombia merancang untuk menandatangani dokumen yang mengisytiharkan badak air sebagai spesies invasif eksotik, menurut Menteri Alam Sekitar, Carlos Eduado Correa. Ini bermakna mereka membuat rancangan bagaimana mengawal populasi haiwan tersebut, yang telah mencecah 130 ekor dan diunjurkan mencecah 400 dalam tempoh lapan tahun jika tiada apa yang dilakukan ketika kumpulan haiwan tersebut berkembang biak di sungai-sungai Colombia.

    Pelancong tiba di Hacienda Napoles, yang pernah menjadi zoo persendirian dengan badak air yang diimport secara haram dan haiwan lain, milik Pablo Escobar. – AP
    Seekor badak air berenang di sungai Magdalena di Puerto Triunfo, Colombia. – AP
    Seorang kanak-kanak perempuan bergambar di atas patung badak air di pintu masuk Hacienda Napoles. – AP

    Correa berkata beberapa strategi sedang dibincangkan tetapi tiada keputusan dibuat. Masyarakat tempatan akan di bawa berunding mengenai sebarang rancangan untuk mengawal populasi badak air, tambahnya.

    “Mereka bercakap tentang pengembirian, pensterilan, membunuh beberapa ekor badak air itu,” katanya. “Apa yang penting ialah ketegasan saintifik dan teknikal yang menghasilkan keputusan itu.”

    Kebanyakan orang ditemu bual di Puerto Triunfo, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara, Bogota, berkata mereka boleh membiasakan diri dengan badak air dan ramai yang menentang pensterilan dan membunuh beberapa ekor badak air.

    “Mereka membuat undang-undang dari jauh. Kami telah tinggal bersama badak air di sini dan kami tidak pernah terfikir untuk membunuhnya,” kata Isabel Romero Jirez, seorang pakar pemuliharaan tempatan. “Badak air bukan milik Afrika sekarang; ia adalah warga Colombia.”

    Badak air telah menjadi jenis haiwan tarikan pelancong tempatan sejak bertahun-tahun sejak Escobar dibunuh oleh polis pada tahun 1993. Apabila ladangnya ditinggalkan, badak air itu terselamat dan membiak di sungai tempatan dan keadaan iklim yang menggalakkan. Ia mula muncul di sekitar Puerto Triunfo sedekad yang lalu.

    Para saintis memberi amaran bahawa badak air tersebut tidak mempunyai pemangsa semula jadi di Colombia dan merupakan masalah yang berpotensi untuk biodiversiti kerana najis mereka mengubah komposisi sungai dan boleh memberi kesan kepada habitat manati dan rodensia capybaras.

    Analisis oleh Institut Penyelidikan Sumber Biologi, Alexander Von Humboldt berkata perubahan iklim dan peningkatan keadaan khatulistiwa iklim yang ideal untuk spesies boleh meningkatkan pembiakan badak air di seluruh Colombia, yang berpotensi “bertindih dengan ceruk geografi dan ekologi asli, meningkatkan risiko kemungkinan persaingan untuk mendapatkan sumber.”

    Badak air juga boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman kerana haiwan tersebut adalah bintang yang memakan tumbuh-tumbuhan dan mencari makanan dalam kuantiti yang banyak pada waktu malam.

    Walaupun badak air dianggap sebagai salah satu haiwan paling berbahaya bagi manusia di Afrika, hanya terdapat beberapa kecederaan yang direkodkan setakat ini.

    “Saya tidak menganggap ia sebagai ancaman, tetapi ada kesukaran dengan kumpulan haiwan berkenaan. Di perbandaran, kami telah menerima laporan mengenai tiga serangan ke atas penduduk awam,” kata seorang pegawai dengan Unit Bantuan Teknikal Pertanian Perbandaran Puerto Triunfo, Carmen Montano.

    Penduduk tempatan mengatakan bahawa badak air kadang-kadang keluar dari air dan merayau melalui jalan-jalan di bandar. Apabila itu berlaku, lalu lintas berhenti dan orang ramai menjauhi haiwan tersebut.

    “Manusia adalah yang menyerang wilayah haiwan berkenaan, itulah sebabnya mereka berasa terancam dan menyerang,” kata Romero Jerez. “Manusia harus berhemah, menghormati dan menjaga jarak.”

    Para saintis memberi amaran bahawa badak air adalah jenis haiwan yang dominasi wilayah dan beratnya boleh mencecah tiga tan.

    Daniel Cadena, ahli biologi dan dekan sains di Universiti de Los Andes, berkata badak air adalah haiwan yang agresif dan tidak selembut seperti yang disangkakan.

    “Terdapat anggaran di Afrika bahawa badak air membunuh lebih ramai orang setiap tahun daripada singa, dubuk dan buaya,” katanya.

    Oleh itu, apabila dokumen yang mengisytiharkan haiwan tersebut sebagai spesies invasif di Colombia ditandatangani, badak air akan masuk dalam kategori spesies seperti siput Afrika gergasi, katak coqui, tilapia hitam dan lionfish. Pengisytiharan itu akan membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber untuk mengawal populasi badak air, salah satu halangan utama. Pada masa ini terdapat program eksperimen imunisasi pengembirian dengan ubat yang didermakan oleh Amerika Syarikat. Pensterilan melalui pembedahan memerlukan ubat penenang, mengangkutnya ke tempat yang selamat dan memotong kulit tebal mereka. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...