Friday, January 10, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China catat inflasi terendah pada Disember

    BEIJING, 9 JAN – China mengelak daripada mencatat deflasi pada Disember dengan harga meningkat pada kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan, menurut angka rasmi yang diterbitkan hari ini, ketika Beijing bergelut untuk memulakan aktiviti pengguna dalam ekonomi nombor dua dunia itu.

    Bacaan itu diperoleh selepas kerajaan melancarkan pelbagai langkah pada akhir tahun lepas bertujuan untuk merangsang penggunaan serta menyediakan sokongan untuk sektor hartanah yang bermasalah, termasuk pemotongan kadar faedah.

    Bagaimanapun, data menunjukkan ia masih belum dicapai, dengan indeks harga pengguna (CPI), ukuran utama inflasi, menurun kepada 0.1 peratus bulan lepas, daripada 0.2 peratus pada November, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS). Bacaan adalah yang terendah sejak Mac.

    Tinjauan ahli ekonomi telah meramalkan 0.1 peratus.

    Untuk keseluruhan tahun 2024 harga naik 0.2 peratus, sama seperti tahun sebelumnya.

    Seorang wanita memilih sayur-sayuran di sebuah pasar raya di Bejing kelmarin. – AFP

    Perbelanjaan yang lembap digabungkan dengan masalah berterusan dalam sektor hartanah dan tekanan pembiayaan kerajaan tempatan telah menimbulkan keraguan tentang kebolehlaksanaan sasaran pertumbuhan rasmi.

    China pulih daripada tempoh deflasi selama empat bulan pada Februari, sebulan selepas mengalami kejatuhan harga paling besar selama 14 tahun.

    Sementara deflasi menunjukkan kos barang jatuh, ia menimbulkan ancaman kepada ekonomi yang lebih luas kerana pengguna cenderung untuk menangguhkan pembelian di bawah keadaan sedemikian, dengan harapan untuk pengurangan selanjutnya.

    Kekurangan permintaan boleh memaksa syarikat mengurangkan pengeluaran, membekukan pengambilan atau memberhentikan pekerja, sementara berpotensi juga memberikan diskaun kepada stok sedia ada sekali gus menjejaskan keuntungan walaupun kos kekal sama.

    IMF meramalkan pertumbuhan ekonomi keseluruhan di China akan menjadi perlahan kepada 4.5 peratus tahun ini.

    China dijangka mengeluarkan data pertumbuhannya untuk 2024 pada minggu depan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda