Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Hampir 50 maut dipanah petir di Uttar Pradesh

    LUCKNOW, 28 JULAI – Sekurang-kurangnya tujuh orang, kebanyakannya petani, terbunuh dipanah petir di sebuah kampung di negeri Uttar Pradesh di utara India, meningkatkan kematian akibat bencana alam itu kepada 49 orang minggu ini.

    Mangsa yang maut berteduh di bawah pokok ketika hujan monsun lebat apabila mereka disambar petir dan mati serta-merta di tempat kejadian pada Selasa lalu.

    “Mangsa termasuklah empat ahli keluarga dan beberapa penternak lembu berhampiran bandar Kaushambi,” menurut pegawai polis, Hem Raj Meena.

    “Angka kematian yang tinggi menyebabkan kerajaan mengeluarkan garis panduan baharu bagaimana orang ramai boleh melindungi diri mereka ketika ribut petir,” kata jurucakap kerajaan negeri, Shishir Singh.

    “Kematian akibat dipanah petir lebih banyak berbanding musibah berkaitan hujan, walaupun inilah masa lazimnya berlaku kematian akibat banjir atau tragedi lain berkaitan hujan,” kata Singh.

    Wanita bersawah padi berdekatan lokasi seorang wanita, Khusboo Bind terbunuh akibat panahan petir pada 25 Julai lalu di kampung Piparaon, di pinggir Prayagraj, negeri utara Uttar Pradesh, India. Kematian akibat petir di negeri itu hampir 50 orang selepas tujuh lagi maut dalam minggu lalu. – AP

    Musim tengkujuh India adalah dari Jun hingga September.

    Kolonel Sanjay Srivastava, dari Jabatan Meteorologi India, berkata panahan petir sudah membunuh hampir 750 orang di seluruh India sejak April lalu.

    Jumlah itu termasuk 20 orang yang maut di timur negeri Bihar dalam dua hari lalu dan 16 di negeri Madhya Pradesh di tengah India awal bulan ini.

    Ketua Pengarah Pusat Sains dan Alam Sekitar, Sunita Narain berkata pemanasan global menyebabkan peningkatan berlakunya panahan kilat.

    Kenaikan suhu satu darjah Celsius meningkatkan kemungkinan menghasilkan kilat sebanyak 12 kali ganda.

    Srivastava berkata penebangan hutan, penyusutan takungan air, dan pencemaran menjadi penyumbang kepada perubahan iklim, yang membawa kepada lebih banyak kilat. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...