Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jepun punyai hati dan perasaan

    DOHA, 4 DIS – Pemain tengah Croatia, Lovro Majer memuji pakej kejutan Piala Dunia, Jepun, yang mempunyai ‘hati dan perasaan’ sebelum pertembungan 16 terakhir mereka pada Isnin.

    Pasukan dari Asia itu mengungguli Kumpulan E di hadapan Sepanyol yang berada di tempat kedua, meninggalkan juara empat kali, Jerman dan Costa Rica yang tersingkir.

    Jepun bangkit dari bawah untuk mengalahkan bekas juara Piala Dunia, Jerman dan Sepanyol dalam perlawanan yang luar biasa, melawan pasukan yang penuh dengan pemain-pemain bintang.

    Majer berkata dia tidak menyangka Jepun akan berada di kedudukan teratas kumpulan namun mereka berhak dengan pencapaian itu.

    “Sejujurnya, saya tidak sangka, tiada siapa dalam dunia bola sepak akan menyangka,” Majer memberitahu dalam sidang media pada Sabtu.

    “Tahniah kepada mereka. Ini menunjukkan mereka bermain bola sepak bukan dengan nama, tetapi dengan hati dan perasaan.

    “Mereka berhak meraih pencapaian ini.

    “Kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar. Ini adalah pusingan kalah mati.

    “Kami menjangkakan perlawanan yang penuh dengan larian dan saingan, kami rasa kami sudah bersedia dan kami sangat menanti-nantikan perlawanan ini.”

    Croatia juga pernah membuat kejutan pada masa lalu dan menang sebagai naib juara dalam aksi Piala Dunia 2018.

    Mereka mengalahkan Kanada 4-1, yang disumbangkan oleh Majer, serta seri 0-0 menentang Maghribi dan Belgium untuk menduduki tempat kedua dalam Kumpulan F.

    Majer berkata pasukannya tidak mungkin akan memandang rendah Jepun, selepas melihat banyak kejutan yang terjadi semasa kejohanan ini.

    Sebagai contoh, Arab Saudi menewaskan Argentina, Tunisia menundukkan Perancis dan Brazil yang tewas kepada Cameroon.

    “Jika awda memandang rendah seseorang, satu hari nanti, awda akan menerima balasannya,” kata Majer.

    “Kami telah menyaksikan begitu banyak kejutan dalam Piala Dunia – apa ertinya menjadi pasukan pilihan dalam konteks ini?

    “Perkara paling penting adalah untuk bersiap sedia menghadapi pihak lawan dalam permainan akan datang.”

    Pemain Croatia dan pertahanan Celtic, Josip Juranovic akan berdepan rakan sepasukannya, Daizen Maeda di Stadium Al Janoub.

    “Kami menyaksikan perlawanan Sepanyol bersama-sama,” kata Juranovic.

    “Saya bermain dengan Maeda di Celtic, dia merupakan pemain yang handal.

    “Saya telah mengucapkan tahniah kepadanya kerana layak mara ke peringkat ini.
    “Kami tak sabar untuk bersaing satu sama lain di padang.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...