Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jerayawara bariga maklumat asas ASEAN

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Seramai 200 orang pelajar Tahun 7 dan 8 Sekolah Menengah Rimba II telah menghadiri Jerayawara Kenali ASEAN yang diadakan di teater kuliah sekolah berkenaan, hari ini.

    Jerayawara anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI itu dihasratkan untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.

    Menurut Jabatan Penerangan, program tersebut merupakan salah satu usaha berterusannya dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Pada masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara jabatan itu dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Pada program itu, Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain memfokuskan dalam menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

    Para pelajar juga berkesempatan mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN.

    Turut hadir ialah Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Noridah binti Haji Kassim dan Timbalan Pengetua Pentadbiran, Hajah Roslinawati binti Haji Yahya serta para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Salah seorang pelajar menjawab kuiz yang turut diadakan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara pelajar Sekolah Menengah Rimba II yang menghadiri jerayawara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...