Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Jumlah perdagangan Februari meningkat 10.8 peratus

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Negara Brunei Darussalam telah mencatat peningkatan jumlah perdagangan sebanyak 10.8 peratus pada Februari 2024 dengan nilai $2,405.5 juta berbanding Januari 2024.

    Peningkatan disumbangkan oleh nilai eksport dan import masing-masing sebanyak $1,547.3 juta dan $858.2 juta.

    Menurut kenyataan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Februari 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, penyumbang utama nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 77.7 peratus, diikuti bahan kimia sebanyak 20.8 peratus serta jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 0.8 peratus.

    Australia merupakan pasaran eksport utama dengan 22.4 peratus, diikuti Republik Rakyat China dengan 18.2 peratus dan Singapura 13.9 peratus. Komoditi eksport terbesar ke negara-negara berkenaan ialah bahan api galian dan bahan kimia.

    Manakala import pada Februari 2024 bernilai $858.2 juta dengan tiga komoditi import utama terdiri daripada bahan api galian sebanyak 75.4 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 7.7 peratus serta makanan sebanyak 5 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 39.7 peratus diikuti oleh Republik Rakyat China 9.1 peratus dan Indonesia sebanyak 5 peratus dengan bahan api galian, makanan serta jentera dan kelengkapan pengangkutan sebagai import komoditi utama.

    Selain itu, sebanyak 62 peratus import digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan, diikuti barangan modal 35.5 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan sebanyak 2.5 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Sebanyak 96.8 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut di mana 2.6 peratus oleh pengangkutan udara dan 0.6 peratus melalui darat.

    Laporan IMTS bagi Februari 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...