Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Ketahui larangan-larangan ketika menziarahi kubur

    Sambungan dari minggu lepas

    Membuang sampah atau apa-apa sisa buangan di kawasan tanah perkuburan bukan sahaja mencemarkan kehormatan kubur serta ahli kubur, bahkan ia turut sama menyusahkan dan menyakiti penziarah kubur yang lain.

    Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak, wajib dijauhkan dari kubur orang Islam kerana menyakiti orang Islam yang datang ziarah di situ serta menyakiti mayat orang Islam hukumnya haram.

    1. Menurut Imam ad-Dardir Rahimahullah, seorang ulama dari Mazhab Maliki, makruh hukumnya makan dan minum ketika ziarah kubur. Perbuatan seumpama ini jelas sekali tidak selari dengan pensyariatan dan hikmah ziarah kubur yang sepatutnya mendatangkan rasa gerun dan insaf kerana ia memperingatkan perihal kematian dan hari akhirat.

    2. Merokok di kawasan tanah perkuburan. Selain haram, merokok juga mengotorkan kerana debu dari puntung rokok yang berterbangan serta puntung rokok yang selalunya akan dibuang merata-rata. Perbuatan sedemikian merupakan satu pencemaran dan pencabulan terhadap hak dan kehormatan kubur serta ahli kubur. Selain itu, ia juga memudharatkan dan mengganggu keselesaan penziarah kubur yang lain. Ini jelas sekali merupakan perbuatan yang tidak elok dan tidak selari dengan perlakuan seorang muslim.

    Penziarah kubur bukan sahaja perlu menjaga kehormatan si mati yang mereka ziarahi, bahkan mereka juga perlu menghormati seluruh ahli kubur serta penziarah yang lain.

    Gambar fail Bernama

    Tidak sempurna kedudukan seseorang itu sebagai seorang muslim selagimana dia masih mengganggu dan menyakiti orang lain dengan perbuatan buruknya. Abu Musa al-Asy‘arie dan ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    Seorang muslim (yang terbaik dan sempurna) itu ialah siapa yang selamat orang-orang Islam (yang lainnya) dari (perbuatan buruk) lidahnya dan tangannya (segenap perbuatannya).
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    3. Khusus bagi golongan perempuan pula, selain larangan-larangan di atas, terdapat beberapa larangan khusus yang patut dijauhi ketika menziarahi kubur, iaitu:

    1) Berziarah kubur tanpa keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, maka perempuan itu tidak dibenarkan untuk berziarah kubur.

    2) Bersolek, berhias-hias dalam berpakaian serta memakai harum-haruman ketika ziarah kubur. Ini kerana selain perkara tersebut dilarang di waktu dan tempat yang lain kerana boleh menimbulkan fitnah, ia juga tidak selari dengan hikmah amalan ziarah kubur yang disyariatkan antaranya untuk mengingati mati dan hari akhirat.

    3) Berziarah kubur seorang diri. Bahkan hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.

    4) Melafazkan bacaan al-Qur’an bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas.

    Sepertimana yang diketahui, perempuan yang haidh atau nifas dilarang daripada membaca al-Qur’an dengan mengeluarkan suara, walaupun bacaan tersebut hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Adapun membaca ayat al-Qur’an di dalam hati tanpa menggerakkan lidah, atau dengan menggerakkan lidah tetapi tidak kedengaran olehnya sendiri adalah diharuskan.

    Oleh yang demikian, perempuan yang haidh atau nifas boleh membaca al-Qur’an dalam hati jika dia hafal atau dengan melihat kepada mushaf yang berada pada orang di sebelahnya.

    Selain boleh membaca al-Qur’an dalam hati ketika menziarahi kubur, perempuan yang haidh atau nifas juga boleh mengisikan waktu ziarah dengan melakukan amalan lain yang bermanfaat contohnya mendoakan ahli kubur dengan doa-doa yang warid yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Demikian beberapa penjelasan tentang larangan-larangan yang perlu dijauhi ketika ziarah kubur. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu kita melaksanakan amalan ziarah kubur dengan lebih sempurna serta terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan amalan tersebut kepada satu perbuatan yang mendatangkan dosa atau dikeji syara‘.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...