Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Nadal akan bermain Terbuka Perancis jika dia boleh bertanding dengan baik

    MADRID, 25 APRIL – Rafael Nadal kelmarin berkata bahawa dia hanya akan bermain di Terbuka Perancis akan datang jika ‘dia merasa cukup mampu untuk bersaing dengan baik.’

    Juara Roland Garros 14 kali itu mengakui jika aksi di Paris bermula hari ini, dia tidak akan dapat mengambil bahagian tetapi berjanji akan terus berjuang untuk beraksi pada kejohanan paling berjayanya buat kali terakhir.

    “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tiga minggu akan datang. Saya akan terus berjuang dan melakukan perkara yang saya percaya perlu saya lakukan supaya saya boleh cuba bermain di Paris, dan jika saya boleh bermain, saya bermain, jika saya tidak boleh, saya tidak boleh,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu kepada pemberita di Terbuka Madrid kelmarin.

    “Saya tidak akan bermain di Paris jika saya seperti sekarang. Jika Paris hari ini, saya tidak akan turun ke gelanggang. Itulah realitinya. Saya hanya akan bermain di Paris jika saya rasa cukup mampu untuk bersaing dengan baik.”

    Nadal kembali bermain tenis di Brisbane pada Januari selepas menghabiskan hampir setahun penuh di luar untuk merawat kecederaan pinggul. Tetapi kemunculannya semula tidak lama kerana dia mengalami masalah otot di Australia dan hanya bertanding dalam lima perlawanan setakat musim ini.

    Pemain Sepanyol itu memulakan kempen tanah liatnya di Barcelona minggu lalu, di mana dia tewas pada pusingan kedua, dan akan berdepan pemain Amerika berusia 16 tahun, Darwin Blanch dalam aksi pembukaannya di Madrid hari ini.

    “Saya tidak fikir saya bersedia untuk bermain pada tahap 100 peratus saya tetapi saya bersedia untuk keluar dan bermain esok. Adalah penting bagi saya untuk bermain kali terakhir di sini di Madrid, bagi saya ia amat bermakna,” kata Nadal yang berusia 37 tahun.

    Ketika dia cuba meneruskan aksi terakhirnya di Madrid dan mengucapkan selamat tinggal kepada salah satu kejohanan kegemarannya di gelanggang, bukannya di tepi padang, juara utama 22 kali itu mengakui bahawa jelajah perpisahannya tidak begitu menyeronokkan seperti yang dia harapkan. – AFP

    Rafael Nadal bersedia untuk latihan pada malam sebelum perlawanannya semasa kejohanan tenis Terbuka ATP Barcelona, di Barcelona, pada 15 April. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...