Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Napoli kempunan rampas tangga teratas Serie A

    MILAN, 22 FEB – Napoli terlepas peluang untuk merampas puncak Serie A kelmarin selepas Victor Osimhen menyelamatkan pasukan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Cagliari.

    Penyerang Nigeria, Osimhen memberikan satu mata untuk Napoli apabila dia melakukan tandukan kencang ketika perlawanan berbaki tiga minit tetapi ia tidak mencukupi untuk pasukan pelawat itu untuk merebut tempat pertama daripada AC Milan.

    Pasukan kendalian Luciano Spalletti mampu menduduki tempat teratas mengatasi Milan dengan perbezaan gol sekiranya mereka menang di Sardinia tetapi sebaliknya ketinggalan dua mata di tempat ketiga.

    Mereka ketinggalan di belakang pasukan Cagliari yang mendahului menerusi Gaston Pereiro pada minit ke-58 dan kecewa dengan keputusan seri selepas mensia-siakan banyak peluang untuk melakar kemenangan sebelum Osimhen menjaringkan gol.

    “Ia adalah perlawanan yang sukar untuk kami. Mungkin kami tidak layak mendapat apa yang kami dapat di sini, atau lebih tepatnya Cagliari layak mendapat lebih,” kata Spalletti kepada DAZN.

    “Kami tidak pernah mengawal permainan, jadi ia mungkin keputusan yang baik untuk kami. Kami tidak melakukan secukupnya.”

    Cagliari berupaya keluar dari zon penyingkiran sekiranya menang tetapi kekal di tempat ke-18, berkongsi 22 mata dengan Venezia yang berada di tangga ke-17 di luar tiga terbawah kerana gol penyamaan kedudukan lewat Osimhen.

    Skuad kendalian Walter Mazzarri kelihatan menuju ke Serie B selepas tewas di Juventus sejurus sebelum cuti musim sejuk tetapi telah memenangi tiga daripada tujuh perlawanan liga mereka sejak tahun baharu di mana mereka hanya tewas sekali. – AFP

    Aksi Joao Pedro dan Amir Rrahmani bersaing mendapatkan bola dalam perlawanan antara Cagliari Calcio dan SSC Napoli kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...