Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Inovasi Pembelajaran pemangkin kecemerlangan pendidikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Mengimbas kembali 38 tahun yang lalu, laungan ‘Allahu Akbar’ pada 23 Februari 1984 telah menjadi saksi kemerdekaan bagi Negara Brunei Darussalam dan kini berjaya mencapai taraf sebanding dengan negara-negara membangun yang lain.

    Dalam bidang pendidikan negara, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi, memberikan peluang pendidikan yang luas serta pembangunan sumber tenaga manusia yang cemerlang.

    Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang bukan saja telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara malah bidang pendidikan turut terkesan daripada wabak berkenaan.

    Dalam usaha untuk melangkah ke hadapan, kerajaan tetap memberikan pendidikan secara berterusan kepada anak bangsanya walaupun dilanda gelombang penularan sejak mula dikesan di negara ini. Salah satu langkah yang diambil adalah pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian. Anak bangsa dianggap aset negara yang berharga dan penerus pembangunan negara di masa hadapan.

    Pembelajaran dalam talian telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan sejak gelombang pertama pada tahun 2020 dan ianya masih diteruskan sehingga ke hari ini.

    Pelajar menjalani ujian ART, mengambil suhu badan serta mensanitasi tangan sebelum memulakan sesi pembelajaran sejajar dengan SOP yang disarankan Kementerian Kesihatan.

    Kini negara telah melalui Fasa Awal Endemik, namun usaha dalam memberi pendidikan secara berterusan kepada anak bangsa terus dipergiatkan dan dipertingkatkan demi mencapai Wawasan 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Pada fasa awal endemik dan dalam suasana norma baharu, sesi persekolahan telah dibuka secara berperingkat-peringkat dengan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Pelbagai langkah juga telah diambil untuk memastikan sesi pembelajaran berjalan dengan lancar.

    Pelaksanaan ujian saringan ART

    Sesi persekolahan yang dibuka secara berperingkat mewajibkan pelajar yang menghadiri pembelajaran secara fizikal menjalani ujian saringan ART di sekolah dan kini di rumah sebelum menghadirkan diri ke sekolah.

    Pelaksanaan ujian saringan ART yang dibuat itu adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan bukan saja di kalangan para pelajar tetapi juga warga sekolah yang lain.

    Keputusan menggunakan SAM untuk pelajar Tahun Enam

    Untuk Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun 2021, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pelaksanaan peperiksaan secara kaedah alternatif iaitu School Assessed Marks (SAM).

    Kaedah SAM yang dilaksanakan itu merangkumi markah pelajar-pelajar sepanjang 2021 yang dicatat melalui Penilaian Kendalian Sekolah (School Based Assesment).

    Pihak sekolah telah menyediakan portfolio untuk setiap pelajar yang mana portfolio berkenaan mestilah mengandungi dua jenis substantial work pelajar.

    Substantial work yang dimaksudkan ini antaranya seperti penilaian, ujian atau peperiksaan menggunakan kertas soalan peperiksaan lalu yang lengkap mengikut jumlah komponen mata pelajar.

    Kombinasi soalan-soalan yang diambil dari kertas peperiksaan yang lalu itu dibuat mengikut format kertas soalan PSR yang lalu, kertas soalan ujian kelayakan dan kombinasi kertas soalan topical test.

    Vaksin untuk remaja 12 hingga 17 tahun

    Dalam mempersiapkan pelajar sebelum kembali ke sekolah, pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada remaja yang berumur antara 12 hingga 17 tahun telah dilancarkan pada November 2021.

    Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Kementerian Kesihatan telah meluluskan pemberian vaksin ini kepada remaja-remaja berumur 12 hingga 17 tahun berdasarkan penelitian dan penilaian terperinci dan dengan mengambil kira aspek-aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti.

    Sebanyak 58,500 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di negara ini pada 5 November lalu.

    Di samping penggunaannya bagi semua peringkat umur, vaksin jenis Pfizer-BioNTech ini adalah satu-satunya vaksin yang sesuai digunakan bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun.

    Manakala pemberian dos kedua bagi Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah dilaksanakan pada 6 Disember 2021.

    Kemahiran guru ke arah kejayaan pelajar

    Kementerian Pendidikan dan KHEU juga komited dalam usahanya meningkatkan lagi kesiapsiagaan guru-guru berinovasi dan mempunyai kompetensi dalam pengajaran seiring dengan kemajuan teknologi. Ini dapat dilihat dalam penubuhan Pusat Teknologi Pendidikan dan Pusat Keusahawanan Inovasi di bawah Kementerian Pendidikan untuk mendukung pendidikan berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan.

    Disebabkan pandemik COVID-19 juga telah menimbulkan beberapa gangguan pembelajaran dan menjejas proses pengajaran, namun usaha untuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran masih diberi keutamaan.

    Kaedah blended learning iaitu gabungan sistem bersemuka dan teknologi dalam pendidikan merupakan satu langkah transformasi yang telah diambil untuk memastikan pelajar masih dapat menerima pendidikan.

    Walaupun para guru berhadapan dengan pelbagai cabaran besar namun dengan berbekalkan kecekalan serta kegigihan dan dedikasi para guru, gangguan itu berjaya ditangani.

    Pengajaran dan pembelajaran dari rumah juga telah dilaksanakan melalui pelbagai kaedah yang merangkumi pembelajaran dalam talian seperti Home-Packed Learning bagi yang tidak mempunyai akses internet dan peranti dan melalui TV Pendidikan yang disiarkan di kaca TV oleh pihak RTB yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar dan guru.

    Cabaran guru-guru dalam pengajaran norma baharu

    Sememangnya, guru-guru akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran krisis global yang tidak dijangka dan ini akan menjadikan tugasan para guru semakin berat.

    Misalnya berhadapan dengan cara pemikiran dan jangkaan generasi kini yang jauh berbeza, keperluan guru untuk meningkatkan kreativiti, inovasi dan kompetensi mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di abad ke-21 telah menjadi keutamaan.

    Ke arah itu, program-program pembangunan kapasiti profesional dan pengukuhan kualiti pengajaran guru akan terus dilaksanakan melalui Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy (BDLTA) dan Brunei Teachers’ Standards (BTS).

    Melalui Program Immersi dan Perantis pula, proses pemilihan guru berasaskan kecekapan serta penilaian berpiawaian secara berterusan terhadap kompetensi bakal guru juga sedang dilaksanakan.

    Kesejahteraan guru dititikberatkan
    Kesejahteraan guru tetap diambil perhatian dalam usaha menghasilkan pelajar yang cemerlang bukan saja duniawi malah ukrahwi.

    Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan amat peka dan prihatin terhadap kesejahteraan para guru yang telah banyak berkorban masa dan tenaga mereka mendidik anak bangsa.

    Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar (UKPSTP) telah ditubuhkan di bawah kawalan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan bagi membantu pemimpin sekolah dan guru-guru menangani isu kesejahteraan mental mereka demi membantu mereka berdaya tahan dan seterusnya meningkatkan prestasi dan produktiviti masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...