Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Operasi selamat budak tersepit dalam perigi digiatkan

    KANDAHAR, 17 FEB – Pasukan penyelamat Afghanistan hari ini giat menjalankan operasi menyelamat seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang terperangkap dalam perigi di kawasan pedalaman selatan Afghanistan sejak dua hari lalu.

    Operasi menyelamat di Kampung Shokak, wilayah Zabul dijalankan kira-kira dua minggu selepas kejadian sama berlaku di Maghribi yang mengorbankan mangsa berusia lima tahun itu.

    Video yang tular di media sosial termasuk dikongsikan pegawai kerajaan Taliban, memaparkan kanak-kanak bernama Haidar tersepit di dalam perigi, namun masih dapat menggerakkan tangan bahagian atas badannya.

    “Adakah keadaan awak baik? Jangan menangis dan terus bercakap dengan saya,” kata bapa mangsa menerusi rakaman berkenaan.

    “Baik, saya akan terus bercakap,” respons kanak-kanak tersebut.

    Penduduk Afghan mengerumumi kawasan kejadian ketika pasukan penyelamat giat melakukan operasi menyelamat budak lelaki berusia sembilan tahun yang jatuh ke dalam perigi di kampung Shokak, wilayah Zabul di Afghanistan. – AFP

    Difahamkan, rakaman itu diperoleh pasukan penyelamat yang menurunkan kamera menggunakan tali dalam perigi berkenaan.

    Pihak berkuasa memaklumkan, mangsa terperangkap pada kedalaman kira-kira 10 meter dalam perigi sedalam 25 meter itu. “Pasukan penyelamat berada di sana bersama ambulans, tangki oksigen dan pelbagai lagi peralatan yang diperlukan,” ciap Setiausaha kepada Timbalan Perdana Menteri, Abdulghani Barada di Twitter.

    Buat masa ini, pasukan penyelamat menjalankan kerja menggali dari sudut permukaan untuk cuba mencapai lokasi di mana mangsa itu terperangkap.

    Mereka menggunakan teknik sama dilakukan pasukan penyelamat yang terbabit dalam insiden membabitkan kanak-kanak Maghribi, Rayan yang terperangkap di dasar perigi pada kedalaman 32 meter awal bulan ini.

    Kanak-kanak malang itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas lima hari terperangkap dalam perigi berkenaan sehingga meraih simpati masyarakat dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...