Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Panama kurangkan harga minyak hentikan rusuhan

    PANAMA CITY, 12 JULAI – Presiden Panama mengumumkan pengurangan harga gasolin dan membekukan kadar harga bagi beberapa barangan penting kelmarin, ketika berdepan dengan rusuhan yang membantah inflasi dan rasuah.

    “Saya faham ketidakpuasan dari beberapa sektor terhadap situasi yang kita hadapi ini, yang berpunca daripada kesan pandemik dan konflik yang berlaku di Ukraine,” kata Laurentino Cortizo dalam satu kenyataan.

    Harga gasolin bagi kenderaan persendirian akan dikurangkan kepada AS$3.95 segelen bermula 15 Julai, katanya, penurunan sebanyak 24 peratus dari harga pada penghujung Jun lalu.

    Selain itu, pengangkutan awam sudah mendapat manfaat dari harga terendah sejak Mei.

    Kelmarin, ratusan orang membantah pada minggu kedua berlakunya rusuhan di Panama yang membantah peningkatan harga minyak, sebanyak 47 peratus sejak Januari.

    Polis rusuhan berjaga-jaga semasa berlakunya rusuhan akibat kenaikan harga makanan dan gasolin di bandar Panama. – AFP

    Cortizo juga mengumumkan bahawa kerajaannya akan merangka dekri untuk membekukan harga bagi puluhan produk makanan penting.

    Walau bagaimanapun, beberapa buah kesatuan berkata bantahan itu akan diteruskan sehingga pengurangan kadar harga barangan dan gasolin berada di bawah AS$3 segelen.

    Di wilayah barat Veraguas dan Chiriqui, yang berdekatan dengan sempadan Costa Rica, penunjuk perasaan menyekat jalan raya Inter-Amerika, yang menghubungkan negara dengan seluruh Amerika Tengah.

    Sementara itu, di bandar Panama, kumpulan pelajar bertelingkah dengan polis di sekitar Univerisiti Panama, di mana sekumpulan individu merampas kenderaan peronda dan memecah tingkapnya.

    “Inflasi bermakna hanya segelintir sahaja yang hidup bermaruah,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Negara, Saul Mendez. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...