Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pembukaan tadarus semarak bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semalam merasmikan Majlis Pembukaan Tadarus Sempena Bulan Ramadan yang berlangsung di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Majlis dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ Asr Hassanil Bolkiah dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Acara pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

    Menurut tazkirah berkenaan, bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan, yang memberi makna besar dalam perjalanan hidup seorang Muslim. Ini kerana ia menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada setiap amalan yang dilakukan dan padanya terhimpun rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.

    Seterusnya, tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian dan diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pegawai Masjid, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai Majlis Pembukaan Tadarus Sempena Bulan Ramadan di Masjid’ Asr Hassanil Bolkiah. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...