Wednesday, November 6, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lahore alami pencemaran tertinggi dalam sejarah

    LAHORE, 6 NOV – Pencemaran udara yang tertinggi dalam sejarah di ibu kota budaya Pakistan, Lahore, telah menyebabkan lebih ramai orang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta, kata doktor hari ini.

    Pihak berkuasa memberi amaran bahawa perintah berkurung sepenuhnya mungkin akan dilaksanakan jika penduduk gagal memakai pelitup muka dan mematuhi panduan lain yang berkaitan dengan jerebu.

    Amaran itu dikeluarkan selepas ramai penduduk di jalan-jalan di Lahore, yang mempunyai jumlah penduduk 14 juta orang, didapati tidak memakai pelitup muka. Doktor mengatakan kebanyakan orang mengadu sama ada mengalami batuk atau merasakan mata mereka pedih.

    “Berpuluh ribu pesakit yang mengalami penyakit pernafasan telah dirawat di hospital dan klinik dalam seminggu,” kata Salman Kazmi, naib presiden Persatuan Perubatan Pakistan.

    Anda boleh melihat orang batuk di mana-mana sahaja anda pergi, namun mereka masih jarang memakai pelitup muka, katanya.

    Lahore kekal sebagai bandar paling tercemar di dunia pagi hari ini, dengan indeks kualiti udara mencapai tahap tertinggi melebihi 1,100. Sebarang bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya kepada kesihatan.

    Jerebu toksik telah menyelubungi bandar itu sejak bulan lalu.

    Marriyum Aurangzeb, seorang menteri kanan di wilayah Punjab, meminta orang ramai memakai pelitup muka untuk mengelakkan perintah berkurung penuh di bandar tersebut. Lahore adalah ibu negeri bagi wilayah berkenaan.

    Pihak berkuasa bandar telah melarang penyediaan makanan panggang tanpa penapis, serta penggunaan beca bermotor, manakala dewan perkahwinan mesti ditutup pada jam 10 malam.

    Kerajaan juga sedang meneliti kaedah untuk menghasilkan hujan buatan bagi mengatasi pencemaran tersebut. – AP

    Para pelajar memakai pelitup muka dan menuju ke sekolah mereka ketika jerebu menyelubungi kawasan di Lahore, Pakistan, hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda