Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Real Madrid dicengkam Club America

    SAN FRANCISCO, 27 JULAI – Karim Benzema dan Eden Hazard berjaya menjaringkan gol ketika kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid terikat 2-2 oleh kelab Mexico, Club America dalam perlawanan persahabatan pramusim kelmarin.

    Sepakan penalti pada minit ke-82 yang disempurnakan oleh bekas pemain Real Madrid, Alvaro Fidalgo telah menafikan kemenangan Real dalam perlawanan yang berlangsung di stadium milik pasukan besbol San Francisco Giants di Oracle Park.

    Club America mendahului dengan jaringan awal yang mengejutkan selepas hanya lima minit sepak mula, ketika Henry Martin menyambut rembatan Miguel Layun sekali gus merembat ke gawang gol Real.

    Real tidak lama kemudian berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui percubaan Benzema pada minit ke-22.

    Pemain antarabangsa Perancis itu meluru ke arah petak penalti dan bermain satu dua yang kemas dengan Marco Asensio sebelum melencongkan penyudah rendah ke sudut kanan bawah melepasi penjaga gol Club America, Guillermo Ochoa.

    Aksi Karim Benzema mengawal bola pada separuh masa pertama Jelajah Juara Bola Sepak 2022 semasa perlawanan bola sepak persahabatan pramusim di Oracle Park di San Francisco, California kelmarin. – AFP

    Jurulatih Real, Carlo Ancelotti membuat tujuh pertukaran pada separuh masa pertama, termasuk Benzema untuk memberi laluan kepada Rodrygo dan Asensio menggantikan Hazard.

    Hazard tidak mengambil masa lama untuk membuat impak apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas pemain pertahanan Club America, Salvador Reyes mengasari Lucas Vazquez di dalam kotak.

    Walau bagaimanapun, Club America kembali menyamakan kedudukan selepas lapan minit sebelum tamat perlawanan apabila Vinicius membuat sedikit kekasaran ke atas Fidalgo di dalam kawasan kotak penalti.

    Fidalgo, yang memulakan karier profesionalnya dengan pasukan B Real Madrid tetapi gagal melayakkan diri ke skuad senior, diberikan tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

    Real Madrid seterusnya akan menamatkan jelajah Amerika Syarikat Sabtu ini menentang Juventus di Rose Bowl di Pasadena, California. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...