Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Tujuh pekerja bantuan WCK diberi penghormatan

    WASHINGTON, 25 APRIL – Satu tugu peringatan di Katedral Kebangsaan di Washington hari ini akan memberi penghormatan kepada tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) yang telah terkorban akibat serangan udara Israel di Gaza awal bulan ini.

    Cef selebriti dan dermawan di sebalik kumpulan bantuan bencana WCK yang berpangkalan di Washington, Jose Andres, dijangka berucap pada upacara penghormatan tersebut, dan pemain selo terkenal, Yo-Yo Ma akan membuat persembahan, kata penganjur.

    Pentadbiran Biden berkata hari ini suami kepada Naib Presiden, Kamala Harris, Douglas Emhoff, dan Penolong Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Kurt Campbell, akan menjadi antara pegawai pentadbiran kanan yang hadir.

    Pekerja bantuan itu terbunuh pada 1 April apabila siri dron bersenjata Israel memusnahkan kenderaan mereka semasa konvoi meninggalkan salah sebuah gudang WCK dalam misi penghantaran makanan.

    Mereka yang meninggal dunia ialah warga Palestin, Saifeddin Issam Ayad Abutaha; warga Britain, John Chapman, James Kirby dan James Henderson; warganegara AS-Kanada, Jacob Flickinger; warga Australia, Lalzawmi Frankcom; dan warga Poland, Damiam Sobol.

    Selepas penyiasatan segera dilancar, Israel berkata pegawai tentera yang terlibat dalam serangan itu telah melanggar dasar dengan membuat tindakan berdasarkan satu gambar kasar yang dipertikaikan oleh seorang pegawai menunjukkan salah seorang daripada tujuh pekerja itu bersenjata. Tentera Israel telah memecat dua pegawai dan menegur tiga yang lain.

    Pekerja bantuan itu, yang perjalanannya telah diselaraskan dengan pegawai Israel, adalah antara lebih 220 pekerja kemanusiaan yang terbunuh dalam perang Israel-Hamas yang telah berlangsung selama enam bulan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Ia termasuk sekurang-kurangnya 30 terbunuh ketika menjalankan tugas. – AP

    Gambar fail menunjukkan rakyat Palestin memeriksa kenderaan mengandungi logo WCK yang rosak akibat serangan udara Israel di Deir al Balah, Semenanjung Gaza pada 2 April. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...