Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    AS, Mexico bincang isu migrasi, keselamatan negara

    WASHINGTON, 12 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan menghoskan rakan sejawatnya dari Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador di Washington hari ini untuk membincangkan isu migrasi, keselamatan dan kerjasama dalam ekonomi.

    Lawatan Lopez Obrador itu adalah yang kedua ke Rumah Putih sejak Biden memegang jawatan presiden tahun lalu – juga bertujuan untuk membuka peluang bagi kedua-dua pemimpin untuk memperbaiki hubungan dua hala mereka.

    “Kerjasama dalam isu migrasi adalah menjadi keutamaan bagi kedua-dua presiden. Saya fikir ini akan menjadi agenda utama dalam perbincangan yang diadakan esok,” kata pegawai kanan pentadbiran AS kepada wartawan.

    Lopez Obrador berkata beliau menjangkakan perbincangan bersama Biden adalah mengenai migrasi dan keselamatan, termasuk keperluan untuk membuat pelaburan dalam projek pembangunan di Amerika Tengah untuk menghalang orang ramai meninggalkan negara.

    “Kami juga akan menangani isu inflasi,” kata Lopez Obrador kepada wartawan, sambil menambah dua negara itu akan bekerjasama dalam usaha mengatasi peningkatan harga melalui tindakan bersama.

    Gambar fail Presiden Joe Biden dan Presiden Lopez Obrador semasa berjumpa di Rumah Putih sebelum perbincangan dua hala di Washington, 18 November 2021. – AP

    “Isu keselamatan akan dibincangkan dalam rangka kerja yang sejajar de-ngan sistem demokratik negara kita,” tambahnya.

    Kedua-dua negara pada tahun lalu bersetuju untuk membanteras penyeludupan dadah hingga ke akar umbi, dan meningkatkan usaha menghalang penyeludupan senjata.

    Isu pemerdagangan manusia juga akan menjadi topik perbincangan penting berikutan tragedi lebih 50 pendatang asing maut – yang kebanyakan daripadanya adalah dari Mexico – dibiarkan dalam treler sehingga mati di San Antonio, Texas.

    “Kami menyedari tragedi di San Antonio itu adalah impak daripada rangkaian pemerdagangan manusia dan ia menjadi keutamaan yang memerlukan tindakan segera,” kata pegawai AS.

    Sementara itu, migrasi menjadi isu utama bagi Biden, apabila Republikan mendakwa beliau membiarkan sempadan selatan AS tanpa pertahanan bagi menghalang pendatang asing merentasi sempadan secara haram. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...