Monday, May 6, 2024
22.9 C
Brunei

    -

    Bersama bangunkan negara aman makmur

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Kestabilan politik, kemakmuran dan kehidupan yang rukun damai di bawah naungan seorang raja yang bijaksana adalah pendorong kepada ketabahan dan kesabaran semua penerima kerakyatan untuk tetap setia menantikan penganugerahan menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-40 di Dewan Banquet, Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya menjelaskan, sebagai rakyat adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membentuk dan membangun negara dan bagi merealisasikan sebuah negara yang aman makmur, sejahtera, berdaya tahan dan mencapai Wawasan Brunei 2035.

    “Hari ini merupakan hari yang amat bermakna dan istimewa kepada penerima-penerima sijil taraf kerakyatan kerana ia adalah sebagai salah satu tanda bermulanya titik perjalanan sebagai rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” ujarnya.

    Selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, tegasnya, kita hendaklah sentiasa bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya telah menganugerahkan negara ini seorang pemimpin yang bijaksana, memiliki keluhuran hati dan sangat mementingkan kebajikan rakyatnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin ketika menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyempurnakan penyampaian sijil taraf kerakyatan kepada para penerima pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ke-40, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Yang Berhormat Dato turut dimaklumkan, lebih 50 peratus penerima sijil taraf kerakyatan kali ini terdiri daripada kalangan belia.

    “Sebagai generasi yang akan mewarisi negara, adalah penting bagi para belia khasnya dan seluruh rakyat amnya untuk memainkan peranan dalam menerajui negara ke arah pembangunan modal insan yang mulia berlandaskan nilai-nilai agama, berdaya tahan, berwibawa serta menerapkan sifat kecemerlangan untuk pembangunan negara,” tambahnya.

    Beliau turut menyeru kepada penerima sijil serta masyarakat umumnya untuk mendukung serta melibatkan diri dalam apa jua aktiviti dan program kemasyarakatan sama ada di peringkat kampung, mukim, daerah ataupun negara dalam sama-sama membentuk sebuah negara yang maju dan cemerlang, bersatu padu dan harmoni, sejahtera dan selamat.

    Katanya lagi, “Sikap pemedulian perlulah dipupuk dan diperkukuhkan di peringkat mukim dan kampung kerana perpaduan adalah antara penyumbang kepada pembangunan dan keharmonian negara.

    “Adalah penting bagi generasi yang akan datang untuk menegakkan dan mengekalkan nilai-nilai luhur, berwawasan serta mendukung falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja,” jelasnya.

    Di samping itu, beliau menegaskan, para belia khususnya dan masyarakat umumnya, perlu menjaga nama baik negara dengan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan yang tidak bermoral yang boleh membawa kepada ketidak-harmonian sesebuah negara.

    “Sebaliknya para belia dan seluruh rakyat disarankan untuk melibatkan diri dalam program-program dan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh pihak kerajaan melalui majlis-majlis perundingan mukim dan kampung,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...