Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Cerapan Bintang awal Disember ini

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sempena cuti penggal akhir persekolahan tahun ini, acara Cerapan Bintang akan diadakan di kawasan lapang depan Bangunan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada awal Disember ini bergantung pada keadaan cuaca.

    “Aktiviti cerapan itu adalah kolaborasi lanjutan di antara Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) dalam menganjurkan pelbagai siri aktiviti ilmiah berkaitan bidang astronomi,” jelas Pegawai Perhubungan Awam, BKISHHB, Pengiran Fauzisalihin bin Pengiran Salleh semasa sidang media di Auditorium BKISHHB, petang tadi.

    Menurutnya lagi, tarikh-tarikh yang akan ditetapkan nanti ialah pada 2 atau 3 atau 4 Disember tertakluk pada keadaan cuaca.

    “Jika keadaan cuaca baik dan cerapan berjaya dibuat pada hari pertama iaitu hari Jumaat (2 Disember), ini bermakna aktiviti sudah selesai tetapi sekiranya keadaan berawan, maka cerapan akan dibatalkan dan digantikan pada hari kedua iaitu hari Sabtu dan jika hari tersebut juga tidak mengizinkan maka akan digantikan pada hari ketiga (terakhir) iaitu Ahad dan jika hari tersebut juga tidak mengizinkan maka aktiviti akan dibatalkan sama sekali. Ini bermakna tidak ada penggantian hari cerapan seterusnya,” ujarnya lagi.

    Pengiran Fauzisalihin turut mengongsikan bahawa orang ramai juga berpeluang untuk mencerap planet-planet seperti planet Marikh, Musytari, dan Zuhal selain mencerap bintang untuk aktiviti kali ini.

    Sidang media Cerapan Bintang yang berlangsung di Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah

    Sementara itu, Pegawai Etnografi BKISHHB, Pengiran Mohd Wafi bin Pengiran Haji Abdul Rahim mengatakan objektif utama cerapan itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya anak-anak sekolah yang sedang bercuti penggal persekolahan bagi sama-sama menyaksikan cerapan bintang serta cerapan planet-planet lain sebagai usaha bagi menyebarkan ilmu kejadian alam cakerawala.

    Di samping itu, katanya lagi, ia juga bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, khususnya dalam bidang sains astronomi, menggalakkan dan memajukan bidang astronomi terutamanya falak syarie di negara ini dan mengumpulkan para peminat astronomi dalam mengkaji dan meningkatkan ilmu pengetahuan.

    Ahli Eksekutif PABD, Awang Mohammad Husaini bin Ali Hassan juga menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan nanti.

    Sasaran utama aktiviti itu adalah orang awam terutama kanak-kanak sekolah dan ahli keluarga mereka, para peminat dan para penggemar bidang astronomi dan mereka yang memiliki peralatan cerapan teleskop atau binokular digalakkan untuk membawanya.

    Aktiviti itu akan bermula pada jam 5 petang di mana ahli jawatankuasa bersedia memasang dan mendirikan peralatan cerapan pada 5:30 petang.

    Para jemputan dan orang ramai dijangka mulai hadir pada jam 5:56 petang. Cerapan Cakerawala (Bulan, Planet Marikh, Musytari & Zuhal mula dapat disaksikan sejurus matahari terbenam dan objek astronomi seperti nebula, gugusan bintang dan lain-lain), dan cerapan ini dijangka akan berakhir pada jam 10 malam.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...