Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sentiasa kreatif bina perniagaan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Menurut perangkaan tahun 2021, sebanyak 159 buah koperasi telah berdaftar di bawah Akta Syarikat Kerjasama (Penggal 84), yang mana hanya 29 peratus daripadanya masih aktif menjalankan aktiviti perniagaan.

    Selebihnya dikategorikan sebagai tidak aktif iaitu sama ada terhenti beroperasi ataupun belum pernah beroperasi sejak ia didaftarkan.

    “Manakala hanya 13 peratus sahaja telah melengkapkan dan menyediakan penyata kewangan tahunan masing-masing berpandukan Akta Syarikat Kerjasama.”

    Perangkaan itu didedahkan oleh Pemangku Pengarah, Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Addizulfadli bin Pengiran Darussalam dalam kata alu-aluannya di Taklimat dan Pameran Mengenai Amalan Terbaik Tadbir Urus Korporat Koperasi yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Awang Mohammad Harris berpeluang untuk menyaksikan pameran berkenaan.
    Antara peserta yang hadir semasa majlis berkenaan.

    Turut hadir ialah Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Allen On, ketua-ketua bahagian, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan daripada agensi kerajaan dan swasta serta pengerusi dan ahli-ahli lembaga koperasi.

    Pengiran Addizulfadli menyatakan pihak kerajaan menyedari beberapa cabaran yang dialami oleh koperasi-koperasi untuk mengorak langkah mereka lebih jauh dalam mengembang majukan koperasi masing-masing ke tahap yang lebih tinggi sehingga berupaya untuk berdikari, mampan serta mampu untuk menembusi pasaran eksport di peringkat serantau dan di peringkat antarabangsa.

    “Oleh itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang dan sentiasa meneliti beberapa akta dan garis panduan agar ia akan kekal relevan dan memudahkan lagi koperasi di negara ini untuk berkembang maju.”

    Pengiran Addizulfadli menyatakan harapan taklimat dan pameran itu akan memberikan pencerahan kepada koperasi, di samping sebagai satu platform bagi berdialog dan bertukar-tukar pandangan di antara satu sama lain.

    Beliau percaya koperasi sebagai perniagaan yang dimiliki ahli, dikendalikan oleh ahli dan berkhidmat untuk ahli, berupaya untuk merealisasikan aspirasi ahli-ahlinya secara kolektif, sambil mengukuhkan tadbir urus koperasi yang mampu memberi pulangan yang lebih baik khususnya kepada ahli dan masyarakat secara amnya.

    Taklimat dan pameran dua hari berakhir esok itu bermatlamat untuk memberi pendedahan kepada koperasi-koperasi terhadap dasar dan garis pandu yang sedia ada di bawah kementerian dan agensi yang berkenaan serta untuk memperdengarkan kisah kejayaan atau perkongsian maklumat mengenai amalan tadbir urus yang dipraktikkan oleh empat buah koperasi di negara ini.

    Taklimat yang membawa tema, Persekitaran Perniagaan Kondusif, Meningkatkan Kemampanan Koperasi, dihadiri oleh seramai 90 orang peserta terdiri daripada ahli Lembaga Koperasi.

    Taklimat diakhiri dengan sesi forum mengenai pengalaman kejayaan koperasi di Brunei dengan mendengarkan perkongsian daripada empat panel jemputan terdiri daripada ahli Lembaga Koperasi iaitu Koperasi KOTIBA, Koperasi Kesuma Mekar, Koperasi SAMAKAYA dan Koperasi ITM.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...