Monday, May 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Digital Brunei, PKWE rapatkan jurang digital warga emas

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Usaha memupuk kesedaran dan literasi digital dalam kalangan penduduk warga Negara Brunei Darussalam terbukti dengan pelaksanaan program pendekatan komuniti di bawah inisiatif Digital Brunei yang berlangsung di Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Daerah Tutong, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), di sini, lebih 30 orang warga emas telah menghadiri acara usaha kolaborasi antara Digital Brunei dan PKWE Tutong itu.

    Acara itu bermatlamat untuk mendidik warga Brunei mengenai aspek praktikal pendigitalan dalam kehidupan harian mereka dan meningkatkan kesedaran mengenai sekuriti siber terutama dalam kalangan warga emas.

    Program selama setengah hari berkenaan dimulakan dengan kata alu-aluan oleh AITI yang diikuti dengan penyampaian sijil kepada penceramah dan pusat berkenaan.

    Sesi daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Cyber Security Brunei (CSB) mengetengahkan pelbagai topik termasuk perlindungan identiti dalam talian, mengenal pasti penipuan dalam talian dan laman sesawang palsu.

    Gambar ramai para peserta dan penganjur acara. – GAMBAR SERAHAN AITI

    Datastream Digital Sdn Bhd (DST) pula menunjukkan bagaimana menggunakan peralatan digital secara efektif.

    Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan EVYD Sdn Bhd mempamerkan kemudahan penggunaan pembayaran digital dan aplikasi kesihatan dengan menggambarkan fungsi peralatan berkenaan dalam membantu komuniti warga emas serta memastikan bahawa mereka tidak ketinggalan dalam zaman kemajuan teknologi pesat.

    Menerusi acara ini, ia diharapkan dapat memberikan manfaat kepada para peserta untuk mengemudi landskap digital dengan penekanan signifikan keselamatan dalam era transformasi digital.

    Lebih banyak program pendekatan komuniti akan dianjurkan pada masa akan datang dengan kolaborasi PKWE di keempat-empat daerah bagi menghubungkan jurang digital di seluruh negara.

    Digital Brunei adalah merupakan sebuah inisiatif oleh Majlis Ekonomi Digital yang dipermudahkan oleh AITI dengan matlamat untuk memperkasa komuniti menerusi teknologi digital dalam usaha bagi menjana masyarakat lebih inklusif digital selaras dengan objektif Wawasan Brunei 2035 dan menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka korban banjir di Afghanistan cecah 400 orang

    KABUL, 19 MEI - Hujan lebat dan banjir di Afghanistan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 400 kematian, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik laporan Tolo News yang...