Friday, May 3, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Empat empangan di Johor catat paras bahaya

    KLUANG, 3 MAC – Empat empangan di negeri Johor telah mencatatkan paras bahaya susulan hujan berterusan sejak Isnin.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata empat empangan tersebut ialah Empangan Sembrong di Ayer Hitam, Empangan Bekok di daerah Segamat, Empangan Labong di Endau, Mersing dan Empangan Machap di Simpang Renggam.

    Beliau berkata Empangan Sembrong telah mencatatkan paras takungan semasa 12.18 meter setakat 7:30 pagi tadi, melebihi aras takungan normal iaitu 8.5 meter.

    “Empangan Sembrong merekodkan jumlah penerimaan hujan sebanyak 13 millimeter (mm). Justeru, sebanyak 15.3 meter padu per saat air telah dilepaskan daripada empangan tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

    Mohamad Fazli berkata paras takungan semasa di Empangan Bekok turut melepasi aras normal iaitu 20.75 meter berbanding aras takungan normal 16 meter; Empangan Machap pula merekodkan bacaan 17.45 meter (aras normal 15.85 meter) dan Empangan
    Labong mencatatkan 8.81 meter (aras normal 8.42 meter).

    Beliau berkata 60.56 meter padu per saat air telah dilepaskan daripada Empangan Bekok; Empangan Machap (27.26 meter padu air per saat) manakala bagi Empangan Labong sebanyak 1,378 meter padu per saat air dilepaskan.

    Katanya Empangan Bekok merekodkan jumlah penerimaan hujan sebanyak 38mm, Empangan Machap (25.5mm) dan Empangan Labong sebanyak 90mm hujan.

    Justeru, Mohamad Fazli menasihati rakyat supaya bersabar dan berhati-hati serta sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa.

    “Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan rakyat dan mengelakkan bencana yang lebih besar,” tambah beliau. – Bernama

    Pemandangan udara menunjukkan limpahan air di Sungai Gemas susulan kejadian hujan lebat sehingga mengakibatkan beberapa buah kediaman di Gemas Baharu ditenggelami banjir, kelmarin. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...