KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya sokongan padu peminat tanah air terhadap pasukan bola sepak Malaysia tetap utuh meskipun Kim Pan Gon tidak lagi bersama Harimau Malaya.
Menjelang pertandingan Pesta-bola Merdeka 2024 bulan depan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata ini kerana legasi pengendali dari Korea Selatan itu akan diteruskan pembantunya Pau Marti Vicente yang kini menggalas tugas ketua jurulatih interim dan dibantu barisan kejurulatihan sama.
“Pandangan kami (FAM) nampak okey sebab pembantu jurulatih Pau Marti sebagai ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan lain masih ada, saya rasa perkara itu tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah FAM gusar ketiadaan Pan Gon akan menjejaskan sokongan peminat terhadap pasukan Malaysia pada Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 8 Sept depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Bernama