Sunday, May 5, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Hari ANZAC memperingati pengorbanan tentera Australia dan NZ

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Hubungan pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Australia telah terjalin sejak pendaratan tentera Australia di Pantai Muara pada 10 Jun 1945 sebagai salah satu operasi penting menerusi kerjasama erat dengan tentera-tentera sekutu serta warga Brunei untuk mendapatkan kembali Kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Brunei semasa Perang Dunia Kedua.

    Pengorbanan dan keberanian lelaki dan wanita yang bergelar anggota tentera Australia dan New Zealand yang berkhidmat dalam peperangan, konflik, menjaga keamanan serta operasi kemanusiaan, terus diingat dan dihormati dengan rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara memperingati pengorbanan mereka itu pada Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.

    Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Memperingati Hari ANZAC, pada awal pagi tadi untuk sama-sama memperingati pengorbanan tentera-tentera berkenaan dalam majlis yang diadakan di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara, hari ini.

    Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, perwakilan dari negara-negara sahabat, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pegawai-pegawai tentera serta para jemputan dan tetamu khas.

    TYT Luke Arnold dalam ucapannya mengulas mengenai beban psikologi yang dihadapi oleh kebanyakan anggota angkatan bersenjata dan bagaimana perubahan pemahaman mengenai kesihatan mental sejak Perang Dunia Pertama telah memacu kolaborasi bermanfaat antara negara seperti Brunei dan Australia.

    Beliau juga mengambil maklum usaha Australia dalam menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk yang berkaitan dengan konflik masa kini di Ukraine dan Timur Tengah.

    Majlis menyaksikan Pembacaan Prasasti Ataturk oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Ersoy sebelum TYT Luke Arnold, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi, dan ketua-ketua perwakilan negara-negara sahabat meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.

    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    TYT Luke Arnold, Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan, pegawai kanan tentera ABDB dan Australia bergambar ramai selepas majlis yang berlangsung di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...